SIBU: Dalam usaha mencapai matlamat pembangunan yang lebih inklusif dan berdaya tahan, Sarawak kini menumpukan perhatian kepada reka bentuk penyertaan atau ‘participatory design’ dalam pelbagai inisiatif dan projek.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, reka bentuk penyertaan memainkan peranan penting dalam merangka Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 serta inisiatif pembangunan lain yang bertujuan menangani cabaran selepas pandemik.
Menurutnya, pendekatan ini bagi memastikan semua pihak berkepentingan, termasuk masyarakat tempatan terlibat secara aktif dalam proses reka bentuk dan melaksanakan projek pembangunan.
"Kita hidup dalam era yang mana Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) menawarkan peluang besar tetapi juga cabaran yang berat.
"Dalam menghadapi kerumitan Revolusi Industri Keempat (4IR) dan bersiap untuk cabaran transformasi Revolusi Industri Kelima (5IR), adalah penting bagi kita untuk bekerjasama dalam membina kerjasama baharu serta memperkasa warganegara dan inovator tempatan.
"Teknologi-teknologi ini mempunyai potensi untuk mengukuhkan akses dan memberi suara kepada ramai orang, namun ia juga membawa risiko terhadap nilai-nilai demokratik yang kita usaha untuk pertahankan,"katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan majlis makan malam sempena 'The 18th Biennial International Participatory Design Conference' (PDC) 2024 di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menekankan bahawa, selepas pandemik COVID-19, kerajaan Sarawak telah merangka dasar-dasar pembangunan yang memfokuskan pada kelestarian dan pemeliharaan alam sekitar, melibatkan komunikasi erat dengan pihak-pihak yang terlibat dalam pelaksanaan dasar.
Dalam hal ini tegasnya, Sarawak berusaha sebaik mungkin untuk mencapai pembangunan yang seimbang tanpa merosakkan alam sekitar dan budaya yang diwarisi.
"Teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI) seperti AI generatif, adalah penting. Namun, kita harus ingat bahawa AI adalah buatan dan tidak mempunyai sentuhan manusia.
"Oleh itu, perlu ada keseimbangan dan penggabungan antara teknologi dan sentuhan manusia untuk mencapai pembangunan yang lebih holistik,"tambah beliau.
Pada majlis itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menyempurnakan penyampaian 'Artful Integrators Award' PDC 2024 yang dianugerahkan kepada Janustu Bangalore, India dan The Long Lamai Ulu Baram Sarawak, Malaysia.
Sejurus selepas itu, beliau menyaksikan upacara pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTS dengan Charles Darwin University Australia University Of Alberta Canada, University Of Nottingham United Kingdom dan Namibia University Of Science and Technology Namibia.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah UTS Datuk Dr Annuar Rapaee, Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr Khairuddin Ab. Hamid, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Clarence Ting, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman, wakil Universiti Sains dan Teknologi Namibia Profesor Dr Heike Winchiers-Theophilus, Timbalan Residen Sibu Christopher Ranggau Unting swrta wakil UTS Assoc. Prof. Dr. Tariq Zaman.
PDC 2024 dengan tema 'Reaching Out: Connecting Beyond Participation' merupakan persidangan berprestij antarabangsa untuk membincangkan penyelesaian bagi produk reka bentuk, perkhidmatan dan sistem sosioteknikal meliputi struktur, peranan dan hak dalam sistem yang melibatkan manusia dan teknologi berfungsi bersama.
Penganjurannya kali ini telah berjaya menghimpunkan wakil dari 24 negara, termasuk Denmark, Finland, Jerman, India, Ireland, Itali, Jepun, Malaysia, Mexico, Namibia, Belanda, New Zealand, Norway, Portugal, Afrika Selatan, Sweden, Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Austria, Belgium, Kanada, Mesir dan China ke bumi kenyalang.-Edisi UKAS