picture

Latar Belakang

 

Latar Belakang


Sejarah Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (PANS) bermula pada tahun 1841 apabila James Brooke menubuhkan Sarawak Administrative Service (SAS) yang mengamalkan struktur pentadbiran Eropah. Pada era pentadbiran Charles Brooke, perubahan yang ketara berlaku apabila jawatan Residen Eropah, Pembantu Residen (kemudian dikenali sebagai Pegawai Daerah) dan kadet diperkenalkan.

 

 

Ketika penjajahan Jepun dari tahun 1941 sehingga 1945, seluruh system pentadbiran awam Sarawak tergendala. Sarawak diletakkan di bawah Pentadbiran Tentera Jepun namun begitu Jepun tetap meneruskan pentadbiran sedia ada yang ditubuhkan oleh keluarga Brookes. Jepun menggantikan residen dan pegawai Eropah dengan pegawai tentera Jepun tetapi mengekalkan pegawai tempatan.

 

 

Apabila Sarawak menjadi Tanah Jajahan Mahkota British pada tahun 1946, terdapat banyak perubahan pada pentadbiran awam negeri berbanding semasa Pentadbiran Brooke. Dasar pembangunan yang sistematik telah diambil untuk menaiktaraf Sarawak dengan projek kerja raya, terutamanya di kawasan luar bandar.

 

 

Pejabat Tanah Jajahan British sedar bahawa mereka tidak akan memerintah Sarawak selamanya lantas Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak yang kita kenali sekarang ditubuhkan. Sebelum Sarawak menubuhkan Malaysia bersama negeri-negeri lain pada tahun 1963, kerajaan negeri dilaksanakan sepenuhnya oleh para pentadbir Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak. Walaupun Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak telah melalui banyak perubahan dan transformasi, tradisi merapatkan jurang antara kerajaan dan rakyat terus dikekalkan sehingga ke hari ini.