News

 

35 Pegawai PANS Sertai Bengkel OQE Untuk Pelaksanaan SacSES

Posted on 10 Jun 2025
Source of News: Edisi UKAS
SIBU: Seramai 35 orang pegawai dari pelbagai agensi di bawah Perkhidmatan Awam Sarawak (PANS) telah menghadiri Bengkel Kajian Semula Organizational Quality Ecosystem (OQE) bagi pelaksanaan Sarawak Civil Service Environmental Standards (SaCSES) bertempat di sebuah hotel di sini pada 9 dan 10 Jun ini.

Bengkel anjuran Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) adalah untuk memperkenalkan SacSES menggantikan inisiatif ekosistem kondusif yang telah dilaksanakan selama ini selaras dengan standard yang lebih sesuai untuk konteks PANS.

Pengarah STIU Superi Awang Said berkata, SaCSES dibangunkan berasaskan prinsip-prinsip OQE dengan penekanan terhadap pembudayaan persekitaran kerja yang berkualiti, sistematik, selamat, kondusif dan berdaya tahan.

"Sesi ini amat penting untuk menilai semula prinsip OQE berdasarkan pengalaman pelaksanaan inisiatif-inisiatif lain, mengenal pasti kekangan dan cabaran yang dihadapi serta merangka garis panduan SaCSES yang lebih sesuai dengan keperluan PANS," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Superi menambah, bengkel ini juga menjadi platform untuk memastikan penyelarasan dan pemahaman bersama dalam kalangan agensi-agensi yang terlibat dengan matlamat memperkukuh budaya kerja yang berkualiti, sistematik, selamat, kondusif serta berdaya tahan di seluruh PANS.

Jelasnye, ini sekali gus menyokong usaha transformasi kerajaan negeri dalam meningkatkan keberkesanan perkhidmatan awam. -EDISI UKAS