News

 

Bengkel Pemurnian Dokumen Senapang Patah Perkasa Tadbir Urus, Keselamatan Di Sarawak

Posted on 18 Jun 2025
Source of News: Edisi UKAS
MIRI: Seramai 50 orang wakil daripada pelbagai agensi kerajaan seluruh Sarawak telah menghadiri Bengkel Pemurnian Dokumen Senapang Patah Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) MS ISO 9001:2015 yang berlangsung selama dua hari, bermula 16 hingga 17 Jun 2025.

Bengkel anjuran bersama Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) dan Pentadbiran Bahagian Bintulu ini bertujuan untuk menyemak, memurnikan dan menyeragamkan dokumen berkaitan pengurusan senapang patah agar selaras dengan piawaian MS ISO 9001:2015.

Pendekatan ini juga bertujuan memastikan tadbir urus senjata api yang lebih teratur, cekap dan mematuhi keperluan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Antara agensi yang terlibat termasuk Jabatan Peguam Besar Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Pejabat Residen serta Pejabat-Pejabat Daerah dari seluruh wilayah ini.

Menerusi satu kenyataan media pada Selasa, bengkel ini merupakan platform penting bagi menambah baik keseluruhan aspek pengurusan senapang patah, terutamanya dari segi kawalan keselamatan, dokumentasi, pemantauan dan penyimpanan senjata api tersebut.

Tumpuan turut diberikan kepada peranan PDRM dalam menjalankan tapisan keselamatan terhadap pemohon lesen, manakala Jabatan Kesihatan Negeri pula bertanggungjawab terhadap aspek tapisan kesihatan pemohon, selaras dengan kehendak perundangan semasa.

Selain menyemak prosedur kerja sedia ada, bengkel ini juga memperkenalkan beberapa penambahbaikan dan prosedur baharu yang dapat memperkemas sistem pengurusan senapang patah di Sarawak.

Inisiatif ini sejajar dengan usaha Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh budaya pematuhan, meningkatkan kecekapan pelaksanaan dan mengangkat mutu tadbir urus yang lebih telus serta berintegriti.

Selain itu, langkah ini adalah sebahagian daripada aspirasi Sarawak ke arah menjadi sebuah wilayah berprestasi tinggi dan berdaya saing dalam semua aspek pengurusan dan perkhidmatan awam. -EDISI UKAS