Kerajaan Sarawak Teguh Perkasa Tadbir Urus Cekap Dan Telus Melalui Prinsip GRP
Posted on 17 Apr 2025
Source of News: Edisi UKAS
KUCHING: Komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa ekosistem tadbir urus yang cekap, telus dan berimpak tinggi terus dizahirkan melalui penganjuran Program Pembangunan Kapasiti (Advanced) Panel Tenaga Pakar Dasar Amalan Baik Peraturan (GRP) Sarawak oleh Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) pada 15 hingga 16 April 2025.
Program ini merupakan manifestasi kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh keupayaan penjawat awam untuk melaksanakan penambahbaikan dasar dan peraturan secara sistematik dan berasaskan bukti.
Seramai 11 penjawat awam dari pelbagai agensi telah menyertai program ini, yang memfokuskan kepada penguasaan tujuh Elemen Analisa Impak Peraturan atau lebih dikenali ‘Regulatory Impact Analysis’ (RIA) yang merupakan komponen teras dalam amalan GRP.
Pengarah STIU, Superi Awang Said, menegaskan bahawa prinsip tadbir urus yang berpaksikan GRP adalah penting dalam memacu reformasi pentadbiran yang lebih responsif dan mesra rakyat.
Jelas beliau, pendekatan ini bukan sahaja menyokong kecekapan pentadbiran, malah turut meningkatkan ketelusan dalam proses membuat keputusan kerajaan.
“Kerajaan Sarawak komited untuk terus memperkasa kapasiti penjawat awam agar mampu melaksanakan penambahbaikan berasaskan data dan analisis impak yang menyeluruh.
“Ini adalah selaras dengan hasrat untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri berdaya saing tinggi, berintegriti dan inovatif,” ujar beliau.
Panel Tenaga Pakar GRP Sarawak memainkan peranan penting dalam menyelaras pelaksanaan projek-projek penambahbaikan proses dan peraturan di bawah ‘Key Focus Activities (KFA) 2.0’, yang dilaksanakan secara mandatori oleh semua kementerian dan agensi sejak tahun 2023 melalui Pekeliling KFA2.0.
Melalui pelaburan berterusan dalam pembangunan kapasiti dan penerapan prinsip GRP, Kerajaan Sarawak terus membuktikan kesungguhan untuk merealisasikan tadbir urus yang berimpak tinggi demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat. -EDISI UKAS