KUCHING: Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS) 2025 kini melangkah setapak lagi sebagai pemangkin transformasi dalam sektor awam wilayah ini apabila Sesi Taklimat AKPANS 2025 berjaya menghimpunkan lebih 590 penjawat awam dari pelbagai agensi kerajaan Sarawak.
Program selama tiga hari yang berlangsung pada 8, 10 dan 11 April 2025 ini dianjurkan oleh Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU), Jabatan Premier Sarawak dengan objektif memperkukuh pemahaman peserta terhadap kriteria penilaian AKPANS serta menyemai budaya kerja berprestasi tinggi dalam kalangan agensi.
Pengarah STIU, Superi Awang Said dalam ucapan pembukaannya menegaskan bahawa AKPANS bukan sekadar satu bentuk pengiktirafan, malah berfungsi sebagai platform strategik untuk memperkasa agensi kerajaan menerusi amalan pengurusan yang cekap, telus dan berimpak tinggi.
“Budaya kecemerlangan tidak berlaku secara spontan kerana ia menuntut kepimpinan berprinsip, komitmen berterusan dan penglibatan aktif seluruh warga kerja,” ujar beliau.
Sesi taklimat kali ini memberi tumpuan kepada sembilan kriteria utama yang menjadi asas penilaian AKPANS 2025 termasuklah aspek kepimpinan organisasi yang mantap, pengurusan kewangan yang telus dan berkesan, serta pengurusan sumber manusia yang strategik dan berorientasikan prestasi.
Turut ditekankan ialah pengurusan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang efisien, pembudayaan organisasi yang progresif serta keupayaan mengurus hubungan pelanggan secara efektif.
Selain itu, penglibatan komuniti yang menyeluruh, pencapaian organisasi yang signifikan, serta kelangsungan dan keberdayaan masa depan juga menjadi elemen penting dalam penilaian keseluruhan.
Superi turut menyeru semua peserta untuk menjadikan AKPANS sebagai pemangkin kepada inovasi dan pembaharuan dalam organisasi masing-masing, demi memperkukuh kepercayaan rakyat menerusi penyampaian perkhidmatan yang responsif dan berfokuskan impak.
Pelaksanaan AKPANS 2025 dilihat sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, yang menekankan tadbir urus berimpak tinggi dan perkhidmatan awam yang progresif.
Inisiatif ini dijangka memainkan peranan penting dalam membudayakan kecemerlangan dalam sektor awam Sarawak ke arah masa depan yang lebih mampan dan berdaya saing. -EDISI UKAS