Bengkel Pengurusan Risiko Perkukuh Tadbir Urus Di Sarawak
Posted on 09 May 2025
Source of News: Edisi UKAS
SIBU: Seramai 65 pegawai dari kesemua 12 Pentadbiran Bahagian di wilayah ini telah menyertai Bengkel Pengurusan Risiko bagi Pengurus Risiko Pentadbiran Bahagian Sarawak yang berlangsung selama dua hari, bermula 8 Mei, di RH Hotel Sibu.
Bengkel anjuran Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak dengan kerjasama Pejabat Residen Sibu itu merupakan antara inisiatif berterusan bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam.
Selain memperkukuh kefahaman para peserta terhadap aspek pengurusan risiko, bengkel ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan dalam membuat semakan dan pemurnian terhadap Daftar Risiko sedia ada bagi setiap pentadbiran bahagian.
Selain itu, ia turut dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam dan menyokong pelaksanaan inisiatif transformasi secara menyeluruh.
Para peserta bukan sahaja berpeluang bertukar pandangan, malah memperluaskan lagi jaringan profesional dalam kalangan pengurus risiko di seluruh Sarawak.
Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak komited untuk terus menyokong pembudayaan pengurusan risiko dalam sektor perkhidmatan awam sebagai sebahagian daripada agenda transformasi tadbir urus Kerajaan Sarawak.-EDISI UKAS