Showing search result:


Page Title Content/Description Action

news

Fahami Budaya, Asas Kukuh Perpaduan Dalam Kalangan Pelajar

MIRI: Memupuk kefahaman terhadap kepelbagaian budaya dalam kalangan pelajar menjadi asas penting dalam memperkukuh perpaduan di negara ini, kata Pegawai Pendidikan Daerah Miri, Mariam Monek. Menurutnya, sekolah merupakan platform terbaik untuk membentuk generasi muda yang menghargai perbezaan dan mengamalkan nilai toleransi sejak dari peringkat awal pendidikan. “Perpaduan bukan hanya satu aspirasi nasional, tetapi satu keperluan dalam masyarakat berbilang kaum. Program seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk saling mengenali, menghormati dan belajar bekerjasama,” katanya. Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sambutan RIMUP Gawai, Kaamatan dan Deepavali 2025 di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, di sini pada Khamis. Tambahnya, pemahaman terhadap budaya rakan sebaya mampu menghindarkan salah faham, serta mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan inklusif. “Saya yakin para guru berperanan penting dalam menerapkan nilai perpaduan melalui sesi pengajaran dan aktiviti sekolah yang merangkumi pelbagai budaya,” ujarnya. Majlis sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan pelbagai kaum serta pameran mini berkaitan warisan dan perayaan pelbagai etnik di Malaysia.-EDISI UKAS

View

news

ADUN Simunjan Terima Kunjungan Hormat UKAS Bahagian Samarahan

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, menerima kunjungan hormat daripada delegasi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Samarahan yang diketuai oleh Pegawai UKAS Bahagian Samarahan, Azzrie Mohamad dalam satu pertemuan rasmi yang diadakan di Pejabat Khidmat DUN Simunjan, pada Khamis. Kunjungan tersebut bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara agensi komunikasi rasmi kerajaan dan Pejabat Khidmat Wakil Rakyat dalam memperkasa penyampaian maklumat yang tepat, inklusif dan berkesan kepada masyarakat setempat. Sepanjang hampir dua jam pertemuan itu, pelbagai isu serta cadangan telah dibincangkan termasuk inisiatif bersama yang boleh digerakkan dalam memastikan maklumat dasar kerajaan dan pembangunan di peringkat akar umbi disampaikan secara menyeluruh dan berkesan kepada rakyat. Awla dalam pertemuan tersebut turut menzahirkan penghargaan kepada pihak UKAS atas peranan aktif mereka dalam menjalin kerjasama erat dengan pejabat-pejabat wakil rakyat khususnya di luar bandar, terutamanya dalam aspek promosi program kerajaan, liputan aktiviti kemasyarakatan serta penyebaran maklumat pembangunan yang berlaku di kawasan. Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan UKAS Bahagian Samarahan dalam merangka pelbagai pendekatan komunikasi yang berkesan agar suara rakyat dapat didengari dan aspirasi pembangunan dapat diterjemahkan melalui penyampaian maklumat yang tepat serta menyeluruh. Kunjungan hormat ini diharap akan membuka lebih banyak ruang untuk meneroka peluang-peluang baharu kerjasama yang mampu memberi manfaat bersama, khususnya dari segi pengukuhan strategi komunikasi dan libat urus dengan masyarakat di peringkat akar umbi.-EDISI UKAS  

View

news

SEDCE Dilantik Edar Pelet HTG Di Sarawak

KUCHING: SEDC Energy (SEDCE) telah dilantik oleh RAW Energy iaitu penyedia bahan api lestari terkemuka dunia sebagai rakan kongsi eksklusif untuk mempromosi dan mengedarkan pelet Rumput Tropika Hibrid (HTG) di Sarawak. Pelet HTG ini akan dibekalkan kepada fasiliti penjanaan tenaga dan pengguna lain yang memerlukan penyelesaian tenaga bersih yang berskala. Pada masa sama, kerjasama ini juga bertujuan untuk melibatkan komuniti tempatan dalam agenda kelestarian dengan menyediakan bahan asas HTG melalui tanaman baharu. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RAW Energy, Ramsay Wilson dalam satu kenyataan berkata, kerjasama antara SEDCE dan RAW Energy sebagai pembekal eksklusif pelet HTG kepada SEDCE dan aset tenaga di Sarawak mewakili lebih daripada sekadar penyelarasan perniagaan strategik. “Ini menandakan era transformasi dalam penggunaan tenaga boleh diperbaharui di seluruh Sarawak. "Dengan penerapan teknologi biomassa yang canggih, SEDCE telah menetapkan satu contoh yang menginspirasikan untuk komuniti global lain yang berusaha menyeimbangkan pertumbuhan industri dengan pemeliharaan alam sekitar,” katanya ditemui pada Khamis. Tambah beliau, pelet HTG keluaran mereka merevolusikan sektor biomassa dan bakal mentakrif semula penanda aras tenaga di peringkat antarabangsa. Jelasnya, kitaran karbon yang diukur dalam hari dan bukannya dekad serta kandungan tenaga terma yang lebih tinggi berbanding pelet kayu menawarkan gambaran masa depan di mana sumber tenaga lestari boleh mengatasi dan menggantikan bahan api tradisional seperti arang batu dan pelet kayu dari segi impak ekologi, kecekapan dan kebolehskalaan. Dengan menggunakan sumber seperti RAW Energy ujarnya, Sarawak sedang memacu ekonomi kitaran dengan menukar hasil pertanian menjadi komoditi tenaga yang bernilai. “Inisiatif ini akan mencetuskan kesan berantai, menggalakkan pelaburan dalam teknologi hijau. Ia juga akan mengukuhkan daya tahan ekonomi dan alam sekitar rantau ini. "Sarawak kini berada pada kedudukan penting untuk menyumbang secara signifikan dalam dialog global mengenai tenaga boleh diperbaharui, menunjukkan bagaimana sumber wilayah boleh dimanfaatkan demi kebaikan sejagat,” tambah beliau. Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SEDCE, Robert Hardin, menyatakan bahawa kerjasama ini merupakan langkah penting dalam usaha Sarawak untuk menyahkarbon dan mencapai sasaran Sifar Bersih menjelang 2050 melalui penggunaan sumber biomassa untuk penjanaan tenaga. “Rumput tropika hibrid RAW tidak bersaing dengan sumber makanan kita, dan ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNSDG) 15 yang mempromosikan penggunaan mampan ekosistem daratan dan menghentikan degradasi tanah. "Kami juga merancang untuk memperkenalkan penanaman rumput hibrid ini secara berperingkat bersama RAW Energy kepada komuniti luar bandar,” kata Robert. Kedua-dua pihak, SEDCE dan RAW Energy, baru-baru ini menandatangani perjanjian yang membuka jalan kepada satu lagi langkah penting dalam usaha penyahkarbon bukan sahaja untuk Sarawak, tetapi juga Malaysia dan rantau ini menjelang Sifar Bersih 2050. -EDISI UKAS  

View

news

IOW Batu Danau Perkukuh Kesedaran Dasar Kerajaan

LIMBANG: Program Info On Wheels (IOW) anjuran Pejabat Penerangan Daerah Limbang terus memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kerajaan secara langsung kepada penduduk luar bandar, khususnya di kawasan Batu Danau. Program yang berlangsung pada Khamis di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Danau itu turut dihadiri Pegawai Penerangan Daerah Limbang, Mohd Said Kalihing dan Ketua Kampung Batu Danau, Julain Injan. Antara fokus utama yang diketengahkan termasuk penjelasan mengenai semakan semula kadar cukai jualan serta peluasan skop cukai perkhidmatan oleh kerajaan. Pendekatan ini bertujuan meningkatkan hasil negara tanpa memberi beban keterlaluan kepada rakyat, di samping memastikan sistem percukaian yang lebih adil dan efisien. Program tersebut turut memberi tumpuan kepada kempen Ops Gasak 2025 yang menekankan usaha membanteras penyelewengan subsidi Gas Petroleum Cecair (LPG). Langkah ini penting bagi memastikan bantuan subsidi sampai kepada golongan sasar dan mengelakkan ketirisan yang boleh merugikan negara. Selain penyampaian maklumat, IOW turut berperanan sebagai platform komunikasi dua hala antara kerajaan dan masyarakat. Ia bukan sahaja membantu meningkatkan kefahaman rakyat terhadap dasar semasa, malah memperkukuh hubungan serta kepercayaan penduduk luar bandar terhadap inisiatif kerajaan.-EDISI UKAS

View

news

15 KMKK Balingian Terima Sijil Lantikan Lanjutan, Baru

BALINGIAN: Seramai 11 Tuai Rumah dan empat Ketua Kampung telah dilanjutkan perkhidmatan manakala satu lantikan baru untuk jawatan Tuai Rumah dalam Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan lanjutan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Kawasan DUN N58 Balingian bagi tempoh 2025 hingga 2027. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi hadir menyempurnakan majlis yang diadakan di Pejabat Daerah Kecil Balingian pada Rabu. Dalam ucapannya, beliau menyeru kepada semua Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) agar sentiasa menjalankan amanah dan tanggungjawab yang dipikul dengan penuh integriti, kejujuran dan ketelusan. "Anda semua merupakan tulang belakang kepada kestabilan masyarakat dan jambatan penting antara rakyat dan kerajaan. "Laksanakan tugas dengan adil, telus dan berjiwa rakyat demi memastikan kesejahteraan serta kemajuan komuniti terus terpelihara dan berkembang seiring aspirasi kerajaan Sarawak khususnya di kawasan DUN N58 Balingian. "Tahniah dan syabas diucapkan kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum yang dilanjutkan tempoh perkhidmatan dan pelantikan baru bagi jawatan Ketua Kampung dan Tuai Rumah bagi kawasan DUN N58 Balingian,” katanya. Turut hadir Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip dan Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Balingian, Abdul Malik Talip. -EDISI UKAS  

View

news

40 Ketua Kaum Daerah Sarikei Terima Sijil Pelantikan Baharu dan Pelantikan Semula

SARIKEI: Seramai 40 Ketua Kaum Daerah Sarikei menerima Sijil Pelantikan Baharu dan Pelantikan Semula dalam satu majlis di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei pada Khamis. Majlis penyerahan sijil tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii. Daripada jumlah itu, seramai 36 penyandang jawatan menerima pelanjutan pelantikan, manakala empat individu dilantik sebagai Ketua Kaum baharu, terdiri daripada Kapitan dan Tuai Rumah. Dalam ucapannya, Dato’ Sri Huang berkata pelantikan berkenaan bukan sekadar satu penghormatan, malah merupakan amanah besar yang menuntut komitmen, integriti dan keikhlasan yang tinggi. “KMKK adalah pemimpin akar umbi yang memainkan peranan penting sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok. Beliau turut mengingatkan semua KMKK agar sentiasa peka terhadap keperluan dan permasalahan masyarakat setempat, serta berperanan aktif dalam menyampaikan isu-isu berbangkit kepada jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan dapat diambil segera. Tegasnya, setiap pemimpin komuniti perlu bersifat inklusif dan berkhidmat demi kepentingan bersama tanpa mengira latar belakang politik, seiring dengan perubahan dan pembangunan yang sedang berlaku di negeri ini. “Kita perlu kekal sebagai satu pasukan yang mantap, dan sentiasa bekerjasama erat dengan Pejabat Residen serta Pejabat Daerah Sarikei demi kesejahteraan dan kemajuan rakyat,” tambah beliau.-EDISI UKAS

View

news

ADUN Opar Terima Kunjungan Hormat Ketua Polis Daerah Lundu Baharu

LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang menerima kunjungan hormat daripada Ketua Polis Daerah Lundu yang baharu, Supt Sudirman Kram dalam satu pertemuan yang berlangsung di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar, pada Khamis. Kunjungan tersebut turut disertai oleh beberapa pegawai kanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu dan bertujuan memperkukuhkan hubungan serta kerjasama strategik antara pihak polis dan wakil rakyat dalam usaha memelihara keselamatan dan ketenteraman awam di kawasan Lundu. Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak membincangkan pelbagai isu semasa yang melibatkan kawasan Opar termasuk perkembangan terkini dalam daerah Lundu, isu keselamatan sempadan negara, kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah yang memerlukan tindakan bersepadu serta penyelesaian berkesan. Billy dalam pada itu menzahirkan penghargaan atas keprihatinan pihak polis dalam memastikan keselamatan dan keamanan masyarakat setempat terus terpelihara, sambil menyatakan komitmen beliau untuk terus bekerjasama rapat dengan pasukan keselamatan demi kesejahteraan rakyat di kawasan tersebut. -EDISI UKAS  

View

news

乡村发展持续获得加强,提醒民众充分利用便利设施

民丹莪:随着政府实施各项发展项目,乡区长屋地区的面貌持续发生显著变化,不仅提高居民生活水平,也缩小城乡差距。 砂拉越总理署副部长(企业事务、资讯及公关组)兼斯莫区立法议员拿督阿都拉赛多表示,这些发展项目的成功实施,很大程度上取决于砂立法议员和国会议员之间的密切合作。 “我们已经在乡村地区提供各种基础设施,以确保人民在发展方面不落后。这一成功是砂立法议员和国会议员之间密切理解与合作的成果。” 他周日出席斯莫立法选区达雅节开放活动上,如是说。该活动也获得丹绒玛尼斯区国会议员兼马来西亚建筑发展局(CIDB)主席尤素夫阿都瓦合出席。 活动分别在两地点举行,即上午在MUARA BUNUT的JAMES BERANDAH KASIN长屋,及下午在SELIDAP的NOVEN NANG长屋进行。 在致词中,拿督阿都拉赛多也呼吁居民,善用完善的通讯系统,以推广本地产品,包括农产品、畜牧产品和河产资源,以促进本地经济的发展。 他还提醒,所有的发展项目申请都必须经过一定的程序,并希望长屋领袖保持耐心,了解项目实施前必须经过的流程。 活动获得来自 Muara Bunut 和 Selidap 地区的社区领袖、族长及长屋领袖出席,他们也对政府正在积极实施的发展计划表示大力支持。 - UKAS 刊  

View

news

Permohonan TEGAS Pre-Accelerator Bootcamp 2025 Kini Dibuka

KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dengan sukacitanya mengumumkan bahawa permohonan untuk menyertai TEGAS Pre-Accelerator Bootcamp (TPAB) 2025 bagi Kohort Ke-7 kini dibuka secara rasmi. Pengerusi TEGAS merangkap Timbalan Menteri Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar Sarawak Datuk Len Talif Salleh dalam satu kenyataan media berkata, program intensif selama enam hari ini akan berlangsung dari 18 hingga 23 Ogos 2025 di TEGAS Digital Village, "Ia direka khas untuk membantu syarikat pemula (startup) peringkat awal di Sarawak memperoleh kemahiran, pengetahuan serta bimbingan yang diperlukan untuk mempercepatkan pertumbuhan dan bersedia menarik pelaburan," jelasnya demikian pada Isnin. Beliau menambah, program TPAB 2025 akan menampilkan bengkel yang dikendalikan pakar, trek pembangunan teknikal dan perniagaan, sesi bimbingan satu-satu, serta peluang jaringan bersama pelabur, syarikat korporat dan pemimpin industri. Antara modul yang ditawarkan termasuk design thinking, pembangunan model perniagaan, strategi pertumbuhan dan prototaip menggunakan teknologi no-code/low-code. Peserta juga akan menerima tunjuk ajar daripada jurulatih startup, pelabur dan pengasas syarikat dari seluruh Malaysia dan luar negara. Program ini akan diakhiri dengan Final Demo Day, di mana peserta akan membentangkan idea mereka di hadapan pelabur malaikat, rakan korporat dan pemain utama dalam ekosistem startup dengan lima syarikat terbaik akan menerima sokongan lanjutan selama enam bulan termasuk bimbingan, padanan pelabur dan akses berterusan kepada sumber-sumber penting. “TEGAS Pre-Accelerator Bootcamp adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk memperkasa belia dan usahawan Sarawak. "Inisiatif ini bukan sekadar membina startup, tetapi turut melahirkan generasi pemikir berani dan penyelesai masalah yang mampu membawa perubahan bermakna kepada komuniti serta menyumbang kepada visi ekonomi digital inklusif dan mampan Sarawak menjelang 2030,” ujarnya lagi. Buat julung kalinya, TEGAS menjalinkan kerjasama bersama Growth Charger, sebuah pemacu startup terkemuka. -EDISI UKAS  

View

news

Latihan EV Untuk Belia: Sarawak Pacu Tenaga Mahir Masa Depan

KUCHING: Senator Dato’ Ahmad Ibrahim telah merasmikan Program Hybrid Electric Vehicle dan Pemerhatian Latihan Kemahiran Belia anjuran Quick Skill Sdn Bhd di Euroauto Garage Sdn Bhd di sini pada Isnin. Program latihan teknikal tersebut memberi fokus kepada bidang automotif hibrid dan elektrik, sejajar dengan perkembangan pesat industri kenderaan tenaga hijau (EV) di peringkat global serta usaha negara dalam mengurangkan pelepasan karbon. Dalam ucapannya, Dato' Ahmad menegaskan bahawa kemahiran dalam teknologi EV bukan lagi dianggap satu kelebihan, tetapi kini merupakan satu keperluan masa depan, khususnya kepada golongan belia Sarawak. “Kita bukan sahaja ingin sekadar melatih mekanik, kita sedang membina inovator. Kita bukan sekadar melahirkan pekerja, kita sedang melahirkan tenaga mahir yang akan memacu industri hijau Malaysia,” tegas beliau. Beliau turut menyeru agar sektor awam dan swasta dapat memperkukuh kerjasama dalam membangunkan lebih banyak program seumpama ini bagi melahirkan bakat tempatan yang berkualiti tinggi dan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing. Dalam pada itu, beliau turut menyatakan komitmennya di Dewan Negara untuk menyokong dasar-dasar pembangunan latihan teknikal, termasuk mencadangkan insentif tambahan kepada syarikat-syarikat yang komited dalam pembangunan kemahiran golongan muda. Majlis tersebut turut disertai oleh wakil-wakil industri, jurulatih teknikal serta peserta belia dari pelbagai latar belakang yang kini sedang menjalani latihan praktikal dalam bidang EV dan hibrid di bengkel latihan khas. Program ini diharap menjadi model latihan teknikal berimpak tinggi yang boleh diperluaskan ke seluruh Sarawak dan rantau Borneo, selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh ekonomi hijau serta memperluas peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada belia tempatan.-EDISI UKAS

View
FirstPrevious1031103210331034103510361037103810391040NextLast