MIRI: Memupuk kefahaman terhadap kepelbagaian budaya dalam kalangan pelajar menjadi asas penting dalam memperkukuh perpaduan di negara ini, kata Pegawai Pendidikan Daerah Miri, Mariam Monek.
Menurutnya, sekolah merupakan platform terbaik untuk membentuk generasi muda yang menghargai perbezaan dan mengamalkan nilai toleransi sejak dari peringkat awal pendidikan.
“Perpaduan bukan hanya satu aspirasi nasional, tetapi satu keperluan dalam masyarakat berbilang kaum. Program seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk saling mengenali, menghormati dan belajar bekerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sambutan RIMUP Gawai, Kaamatan dan Deepavali 2025 di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, di sini pada Khamis.
Tambahnya, pemahaman terhadap budaya rakan sebaya mampu menghindarkan salah faham, serta mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan inklusif.
“Saya yakin para guru berperanan penting dalam menerapkan nilai perpaduan melalui sesi pengajaran dan aktiviti sekolah yang merangkumi pelbagai budaya,” ujarnya.
Majlis sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan pelbagai kaum serta pameran mini berkaitan warisan dan perayaan pelbagai etnik di Malaysia.-EDISI UKAS