ADUN Simunjan Terima Kunjungan Hormat UKAS Bahagian Samarahan

Disiarkan pada 19 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, menerima kunjungan hormat daripada delegasi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Samarahan yang diketuai oleh Pegawai UKAS Bahagian Samarahan, Azzrie Mohamad dalam satu pertemuan rasmi yang diadakan di Pejabat Khidmat DUN Simunjan, pada Khamis.

Kunjungan tersebut bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara agensi komunikasi rasmi kerajaan dan Pejabat Khidmat Wakil Rakyat dalam memperkasa penyampaian maklumat yang tepat, inklusif dan berkesan kepada masyarakat setempat.

Sepanjang hampir dua jam pertemuan itu, pelbagai isu serta cadangan telah dibincangkan termasuk inisiatif bersama yang boleh digerakkan dalam memastikan maklumat dasar kerajaan dan pembangunan di peringkat akar umbi disampaikan secara menyeluruh dan berkesan kepada rakyat.

Awla dalam pertemuan tersebut turut menzahirkan penghargaan kepada pihak UKAS atas peranan aktif mereka dalam menjalin kerjasama erat dengan pejabat-pejabat wakil rakyat khususnya di luar bandar, terutamanya dalam aspek promosi program kerajaan, liputan aktiviti kemasyarakatan serta penyebaran maklumat pembangunan yang berlaku di kawasan.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan UKAS Bahagian Samarahan dalam merangka pelbagai pendekatan komunikasi yang berkesan agar suara rakyat dapat didengari dan aspirasi pembangunan dapat diterjemahkan melalui penyampaian maklumat yang tepat serta menyeluruh.

Kunjungan hormat ini diharap akan membuka lebih banyak ruang untuk meneroka peluang-peluang baharu kerjasama yang mampu memberi manfaat bersama, khususnya dari segi pengukuhan strategi komunikasi dan libat urus dengan masyarakat di peringkat akar umbi.-EDISI UKAS