KUCHING: SEDC Energy (SEDCE) telah dilantik oleh RAW Energy iaitu penyedia bahan api lestari terkemuka dunia sebagai rakan kongsi eksklusif untuk mempromosi dan mengedarkan pelet Rumput Tropika Hibrid (HTG) di Sarawak.
Pelet HTG ini akan dibekalkan kepada fasiliti penjanaan tenaga dan pengguna lain yang memerlukan penyelesaian tenaga bersih yang berskala.
Pada masa sama, kerjasama ini juga bertujuan untuk melibatkan komuniti tempatan dalam agenda kelestarian dengan menyediakan bahan asas HTG melalui tanaman baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RAW Energy, Ramsay Wilson dalam satu kenyataan berkata, kerjasama antara SEDCE dan RAW Energy sebagai pembekal eksklusif pelet HTG kepada SEDCE dan aset tenaga di Sarawak mewakili lebih daripada sekadar penyelarasan perniagaan strategik.
“Ini menandakan era transformasi dalam penggunaan tenaga boleh diperbaharui di seluruh Sarawak.
"Dengan penerapan teknologi biomassa yang canggih, SEDCE telah menetapkan satu contoh yang menginspirasikan untuk komuniti global lain yang berusaha menyeimbangkan pertumbuhan industri dengan pemeliharaan alam sekitar,” katanya ditemui pada Khamis.
Tambah beliau, pelet HTG keluaran mereka merevolusikan sektor biomassa dan bakal mentakrif semula penanda aras tenaga di peringkat antarabangsa.
Jelasnya, kitaran karbon yang diukur dalam hari dan bukannya dekad serta kandungan tenaga terma yang lebih tinggi berbanding pelet kayu menawarkan gambaran masa depan di mana sumber tenaga lestari boleh mengatasi dan menggantikan bahan api tradisional seperti arang batu dan pelet kayu dari segi impak ekologi, kecekapan dan kebolehskalaan.
Dengan menggunakan sumber seperti RAW Energy ujarnya, Sarawak sedang memacu ekonomi kitaran dengan menukar hasil pertanian menjadi komoditi tenaga yang bernilai.
“Inisiatif ini akan mencetuskan kesan berantai, menggalakkan pelaburan dalam teknologi hijau. Ia juga akan mengukuhkan daya tahan ekonomi dan alam sekitar rantau ini.
"Sarawak kini berada pada kedudukan penting untuk menyumbang secara signifikan dalam dialog global mengenai tenaga boleh diperbaharui, menunjukkan bagaimana sumber wilayah boleh dimanfaatkan demi kebaikan sejagat,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SEDCE, Robert Hardin, menyatakan bahawa kerjasama ini merupakan langkah penting dalam usaha Sarawak untuk menyahkarbon dan mencapai sasaran Sifar Bersih menjelang 2050 melalui penggunaan sumber biomassa untuk penjanaan tenaga.
“Rumput tropika hibrid RAW tidak bersaing dengan sumber makanan kita, dan ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNSDG) 15 yang mempromosikan penggunaan mampan ekosistem daratan dan menghentikan degradasi tanah.
"Kami juga merancang untuk memperkenalkan penanaman rumput hibrid ini secara berperingkat bersama RAW Energy kepada komuniti luar bandar,” kata Robert.
Kedua-dua pihak, SEDCE dan RAW Energy, baru-baru ini menandatangani perjanjian yang membuka jalan kepada satu lagi langkah penting dalam usaha penyahkarbon bukan sahaja untuk Sarawak, tetapi juga Malaysia dan rantau ini menjelang Sifar Bersih 2050. -EDISI UKAS