40 Ketua Kaum Daerah Sarikei Terima Sijil Pelantikan Baharu dan Pelantikan Semula

Disiarkan pada 19 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Seramai 40 Ketua Kaum Daerah Sarikei menerima Sijil Pelantikan Baharu dan Pelantikan Semula dalam satu majlis di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei pada Khamis.

Majlis penyerahan sijil tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Daripada jumlah itu, seramai 36 penyandang jawatan menerima pelanjutan pelantikan, manakala empat individu dilantik sebagai Ketua Kaum baharu, terdiri daripada Kapitan dan Tuai Rumah.

Dalam ucapannya, Dato’ Sri Huang berkata pelantikan berkenaan bukan sekadar satu penghormatan, malah merupakan amanah besar yang menuntut komitmen, integriti dan keikhlasan yang tinggi.

“KMKK adalah pemimpin akar umbi yang memainkan peranan penting sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok.

Beliau turut mengingatkan semua KMKK agar sentiasa peka terhadap keperluan dan permasalahan masyarakat setempat, serta berperanan aktif dalam menyampaikan isu-isu berbangkit kepada jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan dapat diambil segera.

Tegasnya, setiap pemimpin komuniti perlu bersifat inklusif dan berkhidmat demi kepentingan bersama tanpa mengira latar belakang politik, seiring dengan perubahan dan pembangunan yang sedang berlaku di negeri ini.

“Kita perlu kekal sebagai satu pasukan yang mantap, dan sentiasa bekerjasama erat dengan Pejabat Residen serta Pejabat Daerah Sarikei demi kesejahteraan dan kemajuan rakyat,” tambah beliau.-EDISI UKAS