Permohonan TEGAS Pre-Accelerator Bootcamp 2025 Kini Dibuka

Disiarkan pada 16 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dengan sukacitanya mengumumkan bahawa permohonan untuk menyertai TEGAS Pre-Accelerator Bootcamp (TPAB) 2025 bagi Kohort Ke-7 kini dibuka secara rasmi.

Pengerusi TEGAS merangkap Timbalan Menteri Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar Sarawak Datuk Len Talif Salleh dalam satu kenyataan media berkata, program intensif selama enam hari ini akan berlangsung dari 18 hingga 23 Ogos 2025 di TEGAS Digital Village,

"Ia direka khas untuk membantu syarikat pemula (startup) peringkat awal di Sarawak memperoleh kemahiran, pengetahuan serta bimbingan yang diperlukan untuk mempercepatkan pertumbuhan dan bersedia menarik pelaburan," jelasnya demikian pada Isnin.

Beliau menambah, program TPAB 2025 akan menampilkan bengkel yang dikendalikan pakar, trek pembangunan teknikal dan perniagaan, sesi bimbingan satu-satu, serta peluang jaringan bersama pelabur, syarikat korporat dan pemimpin industri.

Antara modul yang ditawarkan termasuk design thinking, pembangunan model perniagaan, strategi pertumbuhan dan prototaip menggunakan teknologi no-code/low-code.

Peserta juga akan menerima tunjuk ajar daripada jurulatih startup, pelabur dan pengasas syarikat dari seluruh Malaysia dan luar negara.

Program ini akan diakhiri dengan Final Demo Day, di mana peserta akan membentangkan idea mereka di hadapan pelabur malaikat, rakan korporat dan pemain utama dalam ekosistem startup dengan lima syarikat terbaik akan menerima sokongan lanjutan selama enam bulan termasuk bimbingan, padanan pelabur dan akses berterusan kepada sumber-sumber penting.

“TEGAS Pre-Accelerator Bootcamp adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk memperkasa belia dan usahawan Sarawak.

"Inisiatif ini bukan sekadar membina startup, tetapi turut melahirkan generasi pemikir berani dan penyelesai masalah yang mampu membawa perubahan bermakna kepada komuniti serta menyumbang kepada visi ekonomi digital inklusif dan mampan Sarawak menjelang 2030,” ujarnya lagi.

Buat julung kalinya, TEGAS menjalinkan kerjasama bersama Growth Charger, sebuah pemacu startup terkemuka. -EDISI UKAS