BALINGIAN: Seramai 11 Tuai Rumah dan empat Ketua Kampung telah dilanjutkan perkhidmatan manakala satu lantikan baru untuk jawatan Tuai Rumah dalam Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan lanjutan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Kawasan DUN N58 Balingian bagi tempoh 2025 hingga 2027.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi hadir menyempurnakan majlis yang diadakan di Pejabat Daerah Kecil Balingian pada Rabu.
Dalam ucapannya, beliau menyeru kepada semua Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) agar sentiasa menjalankan amanah dan tanggungjawab yang dipikul dengan penuh integriti, kejujuran dan ketelusan.
"Anda semua merupakan tulang belakang kepada kestabilan masyarakat dan jambatan penting antara rakyat dan kerajaan.
"Laksanakan tugas dengan adil, telus dan berjiwa rakyat demi memastikan kesejahteraan serta kemajuan komuniti terus terpelihara dan berkembang seiring aspirasi kerajaan Sarawak khususnya di kawasan DUN N58 Balingian.
"Tahniah dan syabas diucapkan kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum yang dilanjutkan tempoh perkhidmatan dan pelantikan baru bagi jawatan Ketua Kampung dan Tuai Rumah bagi kawasan DUN N58 Balingian,” katanya.
Turut hadir Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip dan Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Balingian, Abdul Malik Talip. -EDISI UKAS