Latihan EV Untuk Belia: Sarawak Pacu Tenaga Mahir Masa Depan

Disiarkan pada 16 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Senator Dato’ Ahmad Ibrahim telah merasmikan Program Hybrid Electric Vehicle dan Pemerhatian Latihan Kemahiran Belia anjuran Quick Skill Sdn Bhd di Euroauto Garage Sdn Bhd di sini pada Isnin.

Program latihan teknikal tersebut memberi fokus kepada bidang automotif hibrid dan elektrik, sejajar dengan perkembangan pesat industri kenderaan tenaga hijau (EV) di peringkat global serta usaha negara dalam mengurangkan pelepasan karbon.

Dalam ucapannya, Dato' Ahmad menegaskan bahawa kemahiran dalam teknologi EV bukan lagi dianggap satu kelebihan, tetapi kini merupakan satu keperluan masa depan, khususnya kepada golongan belia Sarawak.

“Kita bukan sahaja ingin sekadar melatih mekanik, kita sedang membina inovator. Kita bukan sekadar melahirkan pekerja, kita sedang melahirkan tenaga mahir yang akan memacu industri hijau Malaysia,” tegas beliau.

Beliau turut menyeru agar sektor awam dan swasta dapat memperkukuh kerjasama dalam membangunkan lebih banyak program seumpama ini bagi melahirkan bakat tempatan yang berkualiti tinggi dan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan komitmennya di Dewan Negara untuk menyokong dasar-dasar pembangunan latihan teknikal, termasuk mencadangkan insentif tambahan kepada syarikat-syarikat yang komited dalam pembangunan kemahiran golongan muda.

Majlis tersebut turut disertai oleh wakil-wakil industri, jurulatih teknikal serta peserta belia dari pelbagai latar belakang yang kini sedang menjalani latihan praktikal dalam bidang EV dan hibrid di bengkel latihan khas.

Program ini diharap menjadi model latihan teknikal berimpak tinggi yang boleh diperluaskan ke seluruh Sarawak dan rantau Borneo, selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh ekonomi hijau serta memperluas peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada belia tempatan.-EDISI UKAS