LIMBANG: Program Info On Wheels (IOW) anjuran Pejabat Penerangan Daerah Limbang terus memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kerajaan secara langsung kepada penduduk luar bandar, khususnya di kawasan Batu Danau.
Program yang berlangsung pada Khamis di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Danau itu turut dihadiri Pegawai Penerangan Daerah Limbang, Mohd Said Kalihing dan Ketua Kampung Batu Danau, Julain Injan.
Antara fokus utama yang diketengahkan termasuk penjelasan mengenai semakan semula kadar cukai jualan serta peluasan skop cukai perkhidmatan oleh kerajaan.
Pendekatan ini bertujuan meningkatkan hasil negara tanpa memberi beban keterlaluan kepada rakyat, di samping memastikan sistem percukaian yang lebih adil dan efisien.
Program tersebut turut memberi tumpuan kepada kempen Ops Gasak 2025 yang menekankan usaha membanteras penyelewengan subsidi Gas Petroleum Cecair (LPG).
Langkah ini penting bagi memastikan bantuan subsidi sampai kepada golongan sasar dan mengelakkan ketirisan yang boleh merugikan negara.
Selain penyampaian maklumat, IOW turut berperanan sebagai platform komunikasi dua hala antara kerajaan dan masyarakat.
Ia bukan sahaja membantu meningkatkan kefahaman rakyat terhadap dasar semasa, malah memperkukuh hubungan serta kepercayaan penduduk luar bandar terhadap inisiatif kerajaan.-EDISI UKAS