Showing search result:


Page Title Content/Description Action

news

Kempen Keselamatan Jalan Raya Bahagian Samarahan Fokus Kesedaran Pengguna Sempena Perayaan Gawai

GEDONG : Majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya Bahagian Samarahan Tahun 2025 telah berlangsung dengan jayanya yang berlangsung di Simpang Jambatan Gedong/Kampung Kanchong pada Selasa, dengan tumpuan utama diberikan kepada usaha meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan pengguna jalan raya menjelang sambutan perayaan Hari Gawai. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee dalam satu acara ringkas yang melibatkan agihan sebanyak 34 buah topi keselamatan dan 45 beg cenderamata kepada para pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan. Langkah ini merupakan simbolik kepada komitmen kerajaan dalam memastikan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan khususnya pada musim perayaan yang lazimnya menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya. Program ini adalah hasil kerjasama erat antara Pejabat Residen Bahagian Samarahan dan Pejabat Daerah di bawah Jawatankuasa Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Bahagian Samarahan yang telah merangka pelbagai pendekatan bersifat mendidik dan menyedarkan masyarakat berhubung kepentingan mematuhi peraturan lalu lintas. Ketika ditemui media, Rodiyah menegaskan bahawa kempen keselamatan jalan raya seumpama ini bukan sahaja bersifat simbolik malah memainkan peranan penting dalam menanam sikap bertanggungjawab dalam kalangan pengguna jalan raya terhadap keselamatan diri dan orang lain. “Usaha seperti ini penting lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan seperti Hari Gawai di mana kebanyakan masyarakat akan pulang ke kampung halaman. Justeru, kesedaran tentang kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya harus sentiasa diberi penekanan,” katanya. Beliau turut memaklumkan bahawa statistik kemalangan jalan raya di Bahagian Samarahan bagi tempoh Januari hingga April 2025 menunjukkan peningkatan yang membimbangkan, dengan sejumlah 480 kes kemalangan direkodkan termasuk empat kes yang melibatkan kehilangan nyawa. “Statistik ini menunjukkan bahawa masih ramai pengguna jalan raya yang mungkin memandang ringan aspek keselamatan. Oleh itu, saya menyeru semua pihak sama ada penunggang motosikal, pemandu kenderaan persendirian mahupun komersial agar sentiasa peka dan patuh kepada peraturan yang telah ditetapkan demi keselamatan bersama,” ujar beliau lagi. Tambah beliau, program seumpama ini akan terus dilaksanakan secara berterusan dengan penglibatan lebih banyak agensi berkaitan, termasuk pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar mesej keselamatan jalan raya dapat disampaikan secara lebih meluas dan berkesan kepada masyarakat. Dengan penganjuran program seperti ini, pihak penganjur berharap agar masyarakat akan lebih prihatin dan bertanggungjawab terhadap keselamatan jalan raya sekali gus membantu mengurangkan statistik kemalangan serta menyelamatkan lebih banyak nyawa. Turut hadir, Wakil Residen Bahagian Samarahan Merangkap Ketua Unit Transformasi Sosial Pejabat Residen Bahagian Samarahan, Hasanal Abdul Wahid; Ketua Bahagian Kanan (Pengurusan), Jabatan Pengangkutan Jalan Sarawak, Christopher Alex Boniface Barau; Ketua Balai Polis Daerah Simunjan, DSP Rafhan Kepli; Wakil Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Negeri Sarawak, Faizul Azri Suhaili; Wakil Kementerian Pengangkutan Sarawak Raymond Mejang; Ketua-Ketua Jabatan dan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat. -EDISI UKAS

View

news

Rodiyah Serah Dana RM120,000 Kepada 40 JKKK Bagi Daerah Gedong

GEDONG: Seramai 40 orang ketua kampung mewakili Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing dari Zon Ulu Gedong dan Zon Pangkor menerima cek peruntukan berjumlah keseluruhan RM120,000 dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong, pada Selasa. Majlis penyerahan cek tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee yang menyifatkan penyampaian dana itu sebagai usaha memperkasakan peranan kepimpinan akar umbi dan menyokong pembangunan komuniti setempat di bawah konstituensi Daerah Gedong. Dalam ucapan ringkasnya, Rodiyah menjelaskan bahawa dana yang disalurkan bertujuan untuk membolehkan pelaksanaan pelbagai aktiviti masyarakat, termasuk sambutan perayaan Hari Gawai yang bakal tiba tidak lama lagi selain program-program pembangunan komuniti secara kecil-kecilan. “Peruntukan ini adalah untuk memastikan kampung-kampung di bawah Zon Ulu Gedong dan Zon Pangkor dapat menjalankan aktiviti yang merapatkan hubungan komuniti memperkasakan pertubuhan dan persatuan setempat serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam program yang memberi manfaat langsung kepada mereka,” katanya. Dalam pada itu, beliau turut menekankan pentingnya pengurusan dana secara telus dan berkesan oleh para ketua kampung agar setiap dana yang diperuntukkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan penduduk di kawasan masing-masing. “Saya berharap agar semua penerima dapat menggunakan peruntukan ini sebaik mungkin kerana dana ini bukan sahaja untuk menyokong aktiviti kemasyarakatan tetapi juga mencerminkan kepercayaan kerajaan kepada kepimpinan di peringkat akar umbi untuk terus berperanan aktif dalam pembangunan sosial dan ekonomi setempat,” tegas beliau. Program agihan dana tersebut turut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara pemimpin masyarakat dan pihak kerajaan dalam memastikan keperluan rakyat di peringkat kampung sentiasa diberi perhatian. Turut hadir, Wakil Pusat Khidmat Gedong, Awang Abdul Rahman Awang Hamid; Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Gedong, Maharthir Oyak; dan Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Gedong, Hasanah Majais. -EDISI UKAS

View

news

Rodiyah Saksi Penyerahan Projek Naik Taraf Bangunan Warisan Permata Songket di Kampung Perintah

GEDONG: Usaha untuk memperkasa seni warisan tenunan songket tempatan terus diperkukuh apabila Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee telah menyaksikan majlis penyerahan projek naik taraf Bangunan Warisan Permata Songket yang terletak di Kampung Perintah, Gedong, pada Selasa. Majlis penyerahan tersebut menyaksikan pemindahan tanggungjawab pelaksanaan projek daripada agensi pelaksana di bawah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO) kepada kontraktor yang telah dilantik secara rasmi. Projek ini diluluskan di bawah peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) 2024 dengan kos keseluruhan berjumlah RM42,000. Skop kerja naik taraf melibatkan pelbagai penambahbaikan infrastruktur bangunan bagi memastikan keselesaan serta keselamatan para peserta dan penenun songket. Antara kerja-kerja utama termasuk pendawaian sistem elektrik, pemasangan paip air baharu, penambahan sistem penghawa dingin dan 'exhaust fan' jenis siling di kawasan tandas. Selain itu, kerja-kerja 'retesting' bagi permohonan meter elektrik serta pembaikan kecil sistem paip turut dilaksanakan. Projek ini dijadualkan siap dalam tempoh 16 minggu dengan tarikh penyempurnaan ditetapkan pada 25 September 2025. Namun begitu, Rodiyah menyuarakan harapan agar projek ini dapat disiapkan lebih awal daripada jadual asal, bagi mempercepatkan manfaat kepada komuniti setempat. “Saya amat berharap agar pihak kontraktor dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan komitmen penuh dan menyiapkan projek lebih awal daripada tarikh sebenar. Ini penting bagi memastikan para peserta yang terlibat dalam seni tenunan songket dapat menjalankan aktiviti mereka dalam persekitaran yang lebih selesa, bersih dan selamat,” ujar beliau. Beliau turut menekankan bahawa bangunan ini bukan sekadar sebuah fasiliti, tetapi lambang ketekunan serta identiti warisan masyarakat tempatan yang perlu dipelihara dan diperkasa untuk generasi akan datang. Pelaksanaan projek ini dijangka akan memberi impak langsung terhadap produktiviti para penyongket serta meningkatkan daya tarikan lokasi ini sebagai pusat komuniti dan warisan budaya. -EDISI UKAS

View

news

31 Pangkalan Hadapan Diaktifkan, Sarawak Perkukuh Logistik Bantuan Hadapi Monsun Timur Laut

KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) telah memperkukuh kesiapsiagaan logistik dan gerak balas bencana menjelang Monsun Timur Laut 2025/2026 dengan penyediaan infrastruktur bantuan yang menyeluruh di seluruh negeri. Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sebanyak 661 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dikenal pasti setakat ini, manakala 31 Pangkalan Hadapan Bencana siap sedia untuk diaktifkan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan pantas dan berkesan kepada mangsa bencana. “Bagi menyokong operasi bantuan bencana, kerajaan negeri turut mempunyai Depoh Simpanan Keperluan Bencana utama di Samarahan, dua mini depoh di Miri dan Lawas, serta 16 stor bencana yang ditempatkan di pejabat kebajikan bahagian dan daerah,” katanya ketika sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 pada Selasa. Menurut beliau, penyediaan kemudahan logistik yang menyeluruh ini merupakan langkah penting untuk mempercepatkan proses penghantaran makanan, keperluan asas, dan perlindungan kepada mangsa bencana, terutama di kawasan pedalaman dan yang berisiko terputus hubungan darat. Antara bentuk bantuan yang disediakan termasuk makanan harian di PPS pada kadar RM50 seorang sehari, serta bantuan makanan kering bernilai RM100 seorang bagi mangsa yang terputus hubungan selama seminggu. “Kerajaan amat menitikberatkan aspek kecekapan dan keberkesanan dalam pengurusan bencana, kerana kelewatan dalam penyampaian bantuan boleh memburukkan keadaan mangsa di lapangan,” tegasnya. Tambah beliau, dari Januari hingga 30 April 2025, JKMS telah menyalurkan bantuan berjumlah RM21.1 juta kepada 168,574 mangsa bencana di seluruh Sarawak, sebagai sebahagian daripada usaha meringankan beban rakyat yang terkesan akibat banjir, tanah runtuh, ribut dan kebakaran. Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah berkata, pelbagai inisiatif telah digerakkan bagi mengenal pasti bakat serta membuka lebih banyak ruang kepada atlet Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menyerlah dalam pelbagai disiplin sukan, sama ada di peringkat negeri mahupun antarabangsa. Antaranya termasuk penganjuran Temasya Special Olympics Sarawak edisi ke-7 yang dilaksanakan oleh kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) dengan kerjasama Special Olympics Kuching Chapter pada 2 hingga 5 Mei 2025. “Seramai 461 peserta, termasuk 358 atlet kecacatan intelektual, telah menyertai kejohanan tersebut yang mempertandingkan tujuh jenis sukan, antaranya olahraga, renang, ping pong dan bola sepak. “Hasil daripada temasya ini, 56 atlet cemerlang telah dikenalpasti untuk mewakili Sarawak ke Special Junior Developmental Sports Carnival 2025 di Ipoh, Perak, yang dijadualkan berlangsung pada 27 hingga 30 Jun 2025,” katanya. Tambah beliau, selain penganjuran di peringkat negeri, Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan sebanyak RM825,100 bagi membiayai penyertaan atlet para ke kejohanan sukan antarabangsa, sebagai satu bentuk pelaburan dalam pembangunan sukan OKU yang berdaya saing.-EDISI UKAS

View

news

SALCRA Perkenal Sistem Baharu Kurangkan Pembaziran Minyak Sawit

KUCHING: Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) terus memperkukuh peranannya dalam industri sawit dengan memperkenalkan sistem inovatif yang meminimumkan pembaziran minyak sawit dalam efluen kilang. Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, SALCRA telah memulakan operasi Solid Removal and Oil Recovery System (SRORS) di Kilang Sawit Bau sejak Februari 2025, hasil kerjasama dengan penyedia teknologi swasta melalui model Build, Operate and Transfer (BOT). “Sistem ini mampu memaksimumkan pemulihan minyak daripada tandan buah segar (FFB), sekaligus mengurangkan pembaziran minyak dalam efluen kilang dan meningkatkan kecekapan operasi,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 pada Selasa. Menurut beliau, pelaksanaan sistem tersebut sejajar dengan agenda ekonomi kitaran yang diketengahkan oleh Premier Sarawak, yang menekankan transformasi sisa kepada sumber kekayaan serta pemerkasaan amalan lestari dalam industri utama negeri. “Saya menyeru kesemua 80 kilang sawit lain di Sarawak untuk mengambil langkah sama dalam memastikan industri ini lebih mampan dan berdaya tahan,” tegasnya. Dalam pada itu, Dr Stephen Rundi turut mengumumkan bahawa SALCRA akan meluaskan pembangunan tanah adat ke kawasan baharu melibatkan 6,400 hektar di Bahagian Sarikei dan Sibu, yang dijangka memberi manfaat kepada 1,600 peserta baharu. “Pelaksanaan projek ini akan dilaksanakan secara berfasa dengan kos keseluruhan dianggarkan sebanyak RM150 juta, dan merupakan sebahagian daripada usaha kementerian di bawah teras Inklusiviti Sosial Pelan Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030,” ujarnya. Tambah beliau lagi, penglibatan komuniti luar bandar secara langsung dalam projek pembangunan ini bukan sahaja memperkasa ekonomi mereka, malah memastikan tiada golongan terpinggir daripada arus pembangunan negeri. Inisiatif baharu ini katanya menyokong komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memajukan tanah adat secara komersial, menggalakkan kelestarian industri dan menjamin manfaat jangka panjang kepada generasi akan datang. -EDISI UKAS

View

news

Sarawak Udah Sedia Nyadi Tuai Rumah Lumba SEA 2027

KUCHING: Sarawak diatu benung nyikap diri nyadi tuai rumah alai ngatur Lumba Asia Tenggara (SEA) 2027. Menteri Nembiak, Lumba enggau Pemansang Orang Dagang Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah madah, opis menteri iya benung ngaga langgur nemuai ngagai Thailand dikena belajar ari sida ke nyadi tuai rumah Lumba SEA Ke-33 taun tu. “Dikena nentuka pengawa ngatur betikas dunya, opis menteri aku merambu nemuai belajar ngagai Thailand, ke nyadi tuai rumah Lumba SEA ke-33 ba taun 2025. "Kitai deka merati sereta belajar ngatur program lumba lalu penemu nya deka nyaup kami nengkebang strategi ngatur Lumba SEA taun 2027. "Kebuah pia laban Lumba SEA ukai semina deka meri peransang ngagai atlit dudi hari tang mega deka mai Kuching nyadi hab besai lumba antarabansa di Asia Tenggara, ngelai singkang berani Sarawak ngagai tikas dunya,” ku iya. Iya madah munyi nya maya nyimpul jaku opis menteri iya ba Aum Kunsil Nengeri (DUN) Sarawak ditu, Hari Dua. Senentang pengawa nyikap diri, iya nerang, tu benung digaga ukai semina nyendia perengka guna betikas antarabansa tang mega nyengkaum latih intensif, kerejasama begulai macham agensi enggau nambah tikas sistem logistik ngambi ke program nya ulih diatur mujur. Ba pekara bukai, ku iya, Sarawak mega nyikap diri ngatur Lumba Borneo ke deka diatur ari 24 ngagai 28 September 2025. Ku iya nerang, pengawa ngatur baru lumba tu datai ari buah runding Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg ti madahka lumba tu ukai semina program lumba tang pelasar dikena ngenegap kaul rayat Borneo. Berindik ari nya, iya meri jamin Opis Menteri Nembiak, Lumba enggau Pemansang Orang Dagang enggau Kaunsil Lumba Sarawak (SSC) deka nentuka pemujur pengawa ngatur program nya. “Lumba Borneo 2025 deka digulu lebih ari seribu atlit enggau pegawai ti deka besemekih ba lumba baka olahraga, nyemerai, boling padang, 'archery' enggau badminton, kelimpah main lama baka nyumpit enggau batak tali,” ku iya nerang. -EDISI UKAS

View

news

95 Permohonan DSITKS Diterima, Hanya 35 Diluluskan

KUCHING: Sebanyak 95 permohonan bagi mendapatkan Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan di Sarawak (DSITKS) telah diterima oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) bagi tempoh 1 Januari 2024 hingga 19 Mei 2025. Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata daripada jumlah itu, hanya 35 permohonan atau 36.8 peratus telah diluluskan, manakala baki 60 permohonan (63.2 peratus) telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat. “60 permohonan (63.2%) telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat permohonan, antaranya tiada sijil lahir, bukan sijil lahir yang didaftarkan di Sarawak, tiada permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan dan pemohon berumur lebih daripada 21 tahun,” katanya. Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa. Dato Sri Fatimah turut menegaskan komitmen berterusan kementeriannya dalam membantu golongan tanpa kewarganegaraan, khususnya dalam kalangan wanita dan kanak-kanak, agar mereka tidak terpinggir daripada akses kepada pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial.-EDISI UKAS

View

news

4 Jun Diumumkan Sebagai Hari Kelepasan Am Tambahan Bagi Perkhidmatan Awam Sarawak Sempena Hari Gawai Dayak & Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Pada 2 Jun 2025

KUCHING: Tarikh 4 Jun 2025 diisytiharkan sebagai Hari Kelepasan Am bagi Perkhidmatan Awam Sarawak termasuk Badan Berkanun Sarawak dan Pihak Berkuasa Tempatan Sarawak. Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dalam satu pekeliling yang ditandatangani pada 26 Mei 2025 memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak telah bersetuju mengisytiharkan tarikh 4 Jun 2025 (Rabu) adalah Hari Kelepasan Am berikutan pertindihan tarikh sambutan Hari Gawai Dayak dan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong yang jatuh pada 2 Jun 2025 (Isnin).- EDISI UKAS

View

news

KPWK Laksana Program Pemerkasaan Pembangunan Ekonomi Wanita

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) giat melaksanakan program pemerkasaan bagi membangunkan ekonomi wanita di negeri ini. Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah memberitahu, program pemerkasaan ekonomi tersebut menyasarkan golongan ketua isi rumah wanita dan ibu tunggal dalam kumpulan B40. “Inisiatif ini merangkumi dua jenis bantuan keusahawanan iaitu Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak (KIRWaS) yang diberikan dalam bentuk tunai, dan Geran Modal Pemerkasaan Wanita Sarawak yang disalurkan dalam bentuk peralatan perniagaan. “Sejak tahun 2022 sehingga 2024, seramai 1,814 usahawan wanita menerima manfaat daripada Bantuan KIRWaS. Daripada jumlah tersebut, seramai 1,311 usahawan berhasil menjana pendapatan bulanan. Sehingga kini, pendapatan tertinggi adalah RM3,950.00. “Di samping itu, seramai 877, setara dengan 69 peratus usahawan daripada 1,274 penerima Geran Modal Pemerkasaan Wanita Sarawak berjaya merekodkan peningkatan pendapatan dalam tempoh setahun selepas menerima bantuan,” jelasnya. Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa. Bagi memperluas capaian maklumat serta meningkatkan kefahaman berkaitan proses permohonan kedua-dua bantuan tersebut, beliau menambah program Jelajah Pemerkasaan Wanita Sarawak telah dilaksanakan secara interaktif dan bersifat hands-on. Sementara itu, Dato Sri Fatimah berkata bahawa kementeriannya juga telah meluluskan geran pemerkasaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar aktiviti mampu dijalankan. “Pada tahun 2025, sejumlah RM200,000 telah diluluskan untuk Geran Pemerkasaan NGO bagi mengupayakan NGO yang memerlukan sumber kewangan untuk melaksanakan aktiviti yang selari dengan visi dan misi Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS). “Sebanyak RM24,533 telah disalurkan kepada lapan NGO setakat April 2025,” katanya. -EDISI UKAS

View

news

Jumlah Pesawah Sarawak Menyusut, Kerajaan Perhebat Usaha Tingkat Produktiviti

KUCHING: Jumlah pesawah berdaftar di Sarawak merosot ketara daripada kira-kira seramai 72,800 orang pada 2022 kepada 48,000 orang pada tahun ini. Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, penurunan itu mendorong kementeriannya mempergiat pemodenan dan pengkomersialan penanaman padi, termasuk menaik taraf skim pengairan sedia ada serta membangunkan kawasan baharu dengan sistem lengkap. “Usaha ini penting untuk pengurusan air yang cekap dan hasil yang lebih tinggi,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan DUN Sarawak Ke-19, Selasa. Tambah beliau, kementeriannya juga akan terus memperkenalkan varieti padi berhasil tinggi dan mempromosikan teknik pertanian moden dalam kalangan pesawah kecil. Bercakap dalam sidang media pula, beliau melahirkan kebimbangan terhadap kurangnya kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menanam padi untuk kegunaan sendiri. “Ada duit pun belum tentu ada beras untuk dibeli. Tanamlah padi demi keselamatan makanan keluarga,” katanya. Jelasnya lagi, perubahan nama kementeriannya kepada ‘industri makanan’ bertujuan membina rantaian bekalan lengkap dari penanaman hingga pemasaran, namun antara cabaran utama ialah ketiadaan pembeli tetap atau off-takers. “Kita galak mereka tanam lebih, tapi tiada pembeli juga masalah. Pendekatan menyeluruh diperlukan agar sektor ini boleh berkembang,” katanya lagi. Beliau turut menjadikan China dan Taiwan sebagai contoh negara yang berjaya mengoptimumkan sumber dan mencapai tahap sara diri tinggi meskipun berdepan kekangan geografi. “China dengan 1.4 bilion rakyat masih capai 100% SSL untuk beras. Kita di Sarawak, dengan 2.5 juta orang pun belum cukup,” katanya. -EDISI UKAS

View
FirstPrevious1151115211531154115511561157115811591160NextLast