95 Permohonan DSITKS Diterima, Hanya 35 Diluluskan

Disiarkan pada 27 May 2025
Sumber Berita: ukas


KUCHING: Sebanyak 95 permohonan bagi mendapatkan Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan di Sarawak (DSITKS) telah diterima oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) bagi tempoh 1 Januari 2024 hingga 19 Mei 2025.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata daripada jumlah itu, hanya 35 permohonan atau 36.8 peratus telah diluluskan, manakala baki 60 permohonan (63.2 peratus) telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat.

“60 permohonan (63.2%) telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat permohonan, antaranya tiada sijil lahir, bukan sijil lahir yang didaftarkan di Sarawak, tiada permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan
dan pemohon berumur lebih daripada 21 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.

Dato Sri Fatimah turut menegaskan komitmen berterusan kementeriannya dalam membantu golongan tanpa kewarganegaraan, khususnya dalam kalangan wanita dan kanak-kanak, agar mereka tidak terpinggir daripada akses kepada pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial.-EDISI UKAS