KUCHING: Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) terus memperkukuh peranannya dalam industri sawit dengan memperkenalkan sistem inovatif yang meminimumkan pembaziran minyak sawit dalam efluen kilang.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, SALCRA telah memulakan operasi Solid Removal and Oil Recovery System (SRORS) di Kilang Sawit Bau sejak Februari 2025, hasil kerjasama dengan penyedia teknologi swasta melalui model Build, Operate and Transfer (BOT).
“Sistem ini mampu memaksimumkan pemulihan minyak daripada tandan buah segar (FFB), sekaligus mengurangkan pembaziran minyak dalam efluen kilang dan meningkatkan kecekapan operasi,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 pada Selasa.
Menurut beliau, pelaksanaan sistem tersebut sejajar dengan agenda ekonomi kitaran yang diketengahkan oleh Premier Sarawak, yang menekankan transformasi sisa kepada sumber kekayaan serta pemerkasaan amalan lestari dalam industri utama negeri.
“Saya menyeru kesemua 80 kilang sawit lain di Sarawak untuk mengambil langkah sama dalam memastikan industri ini lebih mampan dan berdaya tahan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Dr Stephen Rundi turut mengumumkan bahawa SALCRA akan meluaskan pembangunan tanah adat ke kawasan baharu melibatkan 6,400 hektar di Bahagian Sarikei dan Sibu, yang dijangka memberi manfaat kepada 1,600 peserta baharu.
“Pelaksanaan projek ini akan dilaksanakan secara berfasa dengan kos keseluruhan dianggarkan sebanyak RM150 juta, dan merupakan sebahagian daripada usaha kementerian di bawah teras Inklusiviti Sosial Pelan Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, penglibatan komuniti luar bandar secara langsung dalam projek pembangunan ini bukan sahaja memperkasa ekonomi mereka, malah memastikan tiada golongan terpinggir daripada arus pembangunan negeri.
Inisiatif baharu ini katanya menyokong komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memajukan tanah adat secara komersial, menggalakkan kelestarian industri dan menjamin manfaat jangka panjang kepada generasi akan datang. -EDISI UKAS