Jumlah Pesawah Sarawak Menyusut, Kerajaan Perhebat Usaha Tingkat Produktiviti

Disiarkan pada 27 May 2025
Sumber Berita: ukas


KUCHING: Jumlah pesawah berdaftar di Sarawak merosot ketara daripada kira-kira seramai 72,800 orang pada 2022 kepada 48,000 orang pada tahun ini.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, penurunan itu mendorong kementeriannya mempergiat pemodenan dan pengkomersialan penanaman padi, termasuk menaik taraf skim pengairan sedia ada serta membangunkan kawasan baharu dengan sistem lengkap.

“Usaha ini penting untuk pengurusan air yang cekap dan hasil yang lebih tinggi,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan DUN Sarawak Ke-19, Selasa.

Tambah beliau, kementeriannya juga akan terus memperkenalkan varieti padi berhasil tinggi dan mempromosikan teknik pertanian moden dalam kalangan pesawah kecil.

Bercakap dalam sidang media pula, beliau melahirkan kebimbangan terhadap kurangnya kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menanam padi untuk kegunaan sendiri.

“Ada duit pun belum tentu ada beras untuk dibeli. Tanamlah padi demi keselamatan makanan keluarga,” katanya.

Jelasnya lagi, perubahan nama kementeriannya kepada ‘industri makanan’ bertujuan membina rantaian bekalan lengkap dari penanaman hingga pemasaran, namun antara cabaran utama ialah ketiadaan pembeli tetap atau off-takers.

“Kita galak mereka tanam lebih, tapi tiada pembeli juga masalah. Pendekatan menyeluruh diperlukan agar sektor ini boleh berkembang,” katanya lagi.

Beliau turut menjadikan China dan Taiwan sebagai contoh negara yang berjaya mengoptimumkan sumber dan mencapai tahap sara diri tinggi meskipun berdepan kekangan geografi.

“China dengan 1.4 bilion rakyat masih capai 100% SSL untuk beras. Kita di Sarawak, dengan 2.5 juta orang pun belum cukup,” katanya. -EDISI UKAS