KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) giat melaksanakan program pemerkasaan bagi membangunkan ekonomi wanita di negeri ini.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah memberitahu, program pemerkasaan ekonomi tersebut menyasarkan golongan ketua isi rumah wanita dan ibu tunggal dalam kumpulan B40.
“Inisiatif ini merangkumi dua jenis bantuan keusahawanan iaitu Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak (KIRWaS) yang diberikan dalam bentuk tunai, dan Geran Modal Pemerkasaan Wanita Sarawak yang disalurkan dalam bentuk peralatan perniagaan.
“Sejak tahun 2022 sehingga 2024, seramai 1,814 usahawan wanita menerima manfaat daripada Bantuan KIRWaS. Daripada jumlah tersebut, seramai 1,311 usahawan berhasil menjana pendapatan bulanan. Sehingga kini, pendapatan tertinggi adalah RM3,950.00.
“Di samping itu, seramai 877, setara dengan 69 peratus usahawan daripada 1,274 penerima Geran Modal Pemerkasaan Wanita Sarawak berjaya merekodkan peningkatan pendapatan dalam tempoh setahun selepas menerima bantuan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Bagi memperluas capaian maklumat serta meningkatkan kefahaman berkaitan proses permohonan kedua-dua bantuan tersebut, beliau menambah program Jelajah Pemerkasaan Wanita Sarawak telah dilaksanakan secara interaktif dan bersifat hands-on.
Sementara itu, Dato Sri Fatimah berkata bahawa kementeriannya juga telah meluluskan geran pemerkasaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar aktiviti mampu dijalankan.
“Pada tahun 2025, sejumlah RM200,000 telah diluluskan untuk Geran Pemerkasaan NGO bagi mengupayakan NGO yang memerlukan sumber kewangan untuk melaksanakan aktiviti yang selari dengan visi dan misi Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS).
“Sebanyak RM24,533 telah disalurkan kepada lapan NGO setakat April 2025,” katanya. -EDISI UKAS