KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) telah memperkukuh kesiapsiagaan logistik dan gerak balas bencana menjelang Monsun Timur Laut 2025/2026 dengan penyediaan infrastruktur bantuan yang menyeluruh di seluruh negeri.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sebanyak 661 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dikenal pasti setakat ini, manakala 31 Pangkalan Hadapan Bencana siap sedia untuk diaktifkan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan pantas dan berkesan kepada mangsa bencana.
“Bagi menyokong operasi bantuan bencana, kerajaan negeri turut mempunyai Depoh Simpanan Keperluan Bencana utama di Samarahan, dua mini depoh di Miri dan Lawas, serta 16 stor bencana yang ditempatkan di pejabat kebajikan bahagian dan daerah,” katanya ketika sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Menurut beliau, penyediaan kemudahan logistik yang menyeluruh ini merupakan langkah penting untuk mempercepatkan proses penghantaran makanan, keperluan asas, dan perlindungan kepada mangsa bencana, terutama di kawasan pedalaman dan yang berisiko terputus hubungan darat.
Antara bentuk bantuan yang disediakan termasuk makanan harian di PPS pada kadar RM50 seorang sehari, serta bantuan makanan kering bernilai RM100 seorang bagi mangsa yang terputus hubungan selama seminggu.
“Kerajaan amat menitikberatkan aspek kecekapan dan keberkesanan dalam pengurusan bencana, kerana kelewatan dalam penyampaian bantuan boleh memburukkan keadaan mangsa di lapangan,” tegasnya.
Tambah beliau, dari Januari hingga 30 April 2025, JKMS telah menyalurkan bantuan berjumlah RM21.1 juta kepada 168,574 mangsa bencana di seluruh Sarawak, sebagai sebahagian daripada usaha meringankan beban rakyat yang terkesan akibat banjir, tanah runtuh, ribut dan kebakaran.
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah berkata, pelbagai inisiatif telah digerakkan bagi mengenal pasti bakat serta membuka lebih banyak ruang kepada atlet Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menyerlah dalam pelbagai disiplin sukan, sama ada di peringkat negeri mahupun antarabangsa.
Antaranya termasuk penganjuran Temasya Special Olympics Sarawak edisi ke-7 yang dilaksanakan oleh kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) dengan kerjasama Special Olympics Kuching Chapter pada 2 hingga 5 Mei 2025.
“Seramai 461 peserta, termasuk 358 atlet kecacatan intelektual, telah menyertai kejohanan tersebut yang mempertandingkan tujuh jenis sukan, antaranya olahraga, renang, ping pong dan bola sepak.
“Hasil daripada temasya ini, 56 atlet cemerlang telah dikenalpasti untuk mewakili Sarawak ke Special Junior Developmental Sports Carnival 2025 di Ipoh, Perak, yang dijadualkan berlangsung pada 27 hingga 30 Jun 2025,” katanya.
Tambah beliau, selain penganjuran di peringkat negeri, Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan sebanyak RM825,100 bagi membiayai penyertaan atlet para ke kejohanan sukan antarabangsa, sebagai satu bentuk pelaburan dalam pembangunan sukan OKU yang berdaya saing.-EDISI UKAS