KUCHING: Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) telah meneruskan tradisi kebersamaan menerusi Program Agihan Bubur Pedas kepada warga kerja di Wisma Bapa Malaysia pada Jumaat.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini bertujuan menghargai dedikasi serta komitmen warga Perkhidmatan Awam Sarawak dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Bertemakan 'Sinar Ramadan, Eratkan Ikatan, Kukuhkan Amalan, Semai Keinsafan', program ini bukan sekadar pengagihan makanan tetapi turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan, memupuk keprihatinan serta menyemai rasa kesyukuran dalam kalangan warga kerja.
Sebanyak 1,050 bekas bubur pedas telah diagihkan oleh semua warga kerja STIU kepada penerima di seluruh bangunan Wisma Bapa Malaysia.
Menurut Pengarah STIU, Superi Awang Said, program tersebut merupakan simbol penghargaan kepada semua yang telah menyumbang tenaga dan usaha dalam memajukan Perkhidmatan Awam Sarawak.
"Kami ingin mewujudkan suasana kerja yang lebih harmoni dan penuh kebersamaan melalui aktiviti seperti ini.
"Bubur pedas yang diagihkan adalah simbol penghormatan kepada usaha gigih warga kerja kerajaan serta mengingatkan kita akan nilai perpaduan dalam masyarakat,” katanya.
Katanya, bubur pedas bukan sahaja sajian tradisional bagi berbuka puasa, malah membawa nilai warisan yang mendalam bagi masyarakat Sarawak.
Hidangan ini juga mencerminkan kepelbagaian budaya, keharmonian serta semangat gotong-royong dalam kalangan rakyat, tambahnya.
Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai manifestasi keprihatinan dan semangat kekeluargaan dalam institusi perkhidmatan awam.