SIBU: Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) dengan kerjasama Pentadbiran Bahagian Mukah telah menganjurkan satu sesi libat urus berkaitan Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) MS ISO 9001:2015 bagi memperkukuhkan pemahaman serta amalan terbaik dalam pengurusan maklum balas pelanggan.
Menurut satu kenyataan pada Khamis, sesi libat urus tersebut yang berlangsung pada 5 dan 6 Februari di sebuah hotel terkemuka di sini telah melibatkan pegawai-pegawai dari keseluruhan Pentadbiran Bahagian Sarawak dengan tujuan memastikan kepuasan pelanggan dan penambahbaikan berterusan dalam perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak pentadbiran.
Sepanjang sesi berlangsung, para peserta diberi penerangan terperinci mengenai kepentingan pematuhan kepada keperluan standard ISO 9001:2015 serta kaedah efektif dalam menerima, merekod, menganalisis dan mengambil tindakan susulan terhadap maklum balas pelanggan.
“Selain itu, sesi perbincangan interaktif turut diadakan bagi mengenal pasti cabaran serta langkah penambahbaikan dalam sistem pengurusan maklum balas pelanggan.
“Diharapkan sesi libat urus ini dapat memberi manfaat kepada semua pegawai yang terlibat dalam sistem pengurusan kualiti, seterusnya menyumbang kepada peningkatan mutu perkhidmatan Kerajaan Sarawak,” jelas kenyataan tersebut.
Semasa sesi tersebut, Timbalan Residen Bahagian Mukah Shafrie Saili turut menekankan kepentingan pengurusan maklum balas pelanggan secara sistematik.
Beliau menjelaskan, hal ini bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta memperkukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap pentadbiran kerajaan.