Kursus Wajib Pengambilan Anak Angkat: Perkukuh Sistem Sokongan Perlindungan & Kebajikan

Disiarkan pada 11 Jan 2025
Sumber Berita: Edisi UKAS



LUNDU: Kursus Wajib Pengambilan Anak Angkat merupakan usaha penting untuk meningkatkan kesedaran serta menyediakan maklumat lebih komprehensif kepada individu yang berhasrat untuk mengambil anak angkat.

Cadangan ini dikemukakan oleh Pegawai Tadbir di Pejabat Daerah Lundu, Muhammad Isa Limon, yang telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah MyCreative Idea (MCi) 2024, sebuah platform inovatif yang bertujuan mempromosikan perkongsian idea kreatif melalui portal atau aplikasi mudah alih.

Menurut Muhammad Isa, idea pelaksanaan kursus ini tercetus ketika beliau mengikuti pembelajaran mengenai fungsi statutori dan menyedari bahawa tiada kursus wajib yang disediakan bagi pihak yang terlibat dalam pengambilan anak angkat.

Sehubungan itu, beliau yakin bahawa keperluan untuk menyediakan kursus yang standard dan seragam adalah sangat penting untuk memastikan semua pihak yang terlibat memahami sepenuhnya hak dan tanggungjawab mereka.

"Antara kesan jangka pendek sekiranya idea ini dapat dilaksanakan ialah penghasilan satu silibus standard dan seragam yang dapat digunakan oleh pejabat daerah di seluruh Sarawak.

"Manakala, kesan jangka panjangnya pula adalah untuk memastikan setiap pihak yang terlibat memahami dengan lebih jelas tanggungjawab dan tugas mereka, di samping memastikan kebajikan anak angkat sentiasa terjaga,"ujarnya dalam satu temubual bersama Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) baru-baru ini.

Mengulas mengenai proses pengambilan anak angkat yang sedia ada, Muhammad Isa menambah, sesi temu duga bersama ibu bapa angkat dan ibu bapa kandung akan diadakan bagi mengelakkan sebarang unsur paksaan atau jual beli.

Dalam sesi tersebut katanya, pihak yang terlibat akan diberi penerangan mengenai hak dan tanggungjawab mereka.

Inisiatif ini menurut beliau, akan memperkukuh sistem pengambilan anak angkat di Sarawak dan memastikan kebajikan anak-anak yang diambil dapat dijaga dengan baik sepanjang proses tersebut.

Anugerah MCI telah disampaikan kepada Muhammad Isa pada Oktober lepas sempena Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) 2024 yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Muhamad Abu Bakar Marzuki.

https://premierdept.sarawak.gov.my/web/subpage/news_view/11418/UKAS