SABAL, 27 Julai 2026 -- Unit Audit Dalam (UAD), Jabatan Premier Sarawak telah melaksanakan inisiatif “Tanam Pokok, Semai Budi” dengan penanaman sebanyak 550 pokok di Hutan Simpan Sabal, menerusi Program Corporate Social Responsibility (CSR) Kelab Kebajikan Kakitangan Audit Dalam (KKKAD) bersama dengan Jabatan Hutan Sarawak (JHS).
Program ini bertujuan menyokong usaha pemuliharaan dan pemulihan hutan, di samping memupuk kesedaran serta tanggungjawab warga UAD terhadap kelestarian alam sekitar. Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 29 orang warga UAD.
Pengerusi KKKAD menyifatkan penglibatan tersebut sebagai satu perkembangan yang membanggakan dan mencerminkan semangat kebersamaan warga UAD dalam menjayakan inisiatif CSR. Penasihat KKKAD turut menyokong usaha tersebut sebagai satu platform untuk memupuk keprihatinan terhadap alam sekitar serta menggalakkan penglibatan warga UAD dalam aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar.
Melalui program CSR ini, KKKAD berharap agar semangat “Tanam Pokok, Semai Budi” dapat terus dipupuk sebagai satu bentuk sumbangan dan budi kepada alam sekitar, masyarakat serta generasi akan datang.