KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Awam Sarawak sekali lagi membuktikan komitmen terhadap kecemerlangan apabila menerima Anugerah Khas dalam Majlis Sirim Industri 2024.
Pengiktirafan ini diberikan susulan pencapaian cemerlang Perkhidmatan Awam Sarawak
yang telah disenaraikan dalam Malaysia Book of Records atas kejayaan dalam pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015.
Pencapaian ini juga menyerlahkan usaha berterusan Sarawak dalam meningkatkan kecekapan dan kualiti pengurusan perkhidmatan awam untuk memastikan perkhidmatan yang memenuhi standard tertinggi bagi rakyat.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee yang mewakili Perkhidmatan Awam Sarawak memberitahu, pengiktirafan ini adalah bukti komitmen Perkhidmatan Awam Sarawak untuk terus memperkasakan perkhidmatan awam yang berkualiti bagi kesejahteraan rakyat.
“Pencapaian ini akan menjadi inspirasi untuk kita mencapai lebih banyak kejayaan dan memastikan setiap jabatan serta agensi mengamalkan pengurusan yang berdaya saing,” ujarnya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Sementara itu, Pengarah Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) Superi Awang Said berkata, pencapaian ini hasil daripada dedikasi seluruh pasukan kerja yang komited dalam menerapkan inovasi dan integriti dalam perkhidmatan awam.
Tambahnya, para penjawat awam Sarawak berbangga dan bertekad untuk terus memacu transformasi berimpak tinggi yang memanfaatkan rakyat dan pembangunan negeri Sarawak
SIRIM sebagai agensi kebangsaan dalam standard dan kualiti telah menganugerahkan pengiktirafan ini sebagai bukti keupayaan PANS dalam merancang, melaksanakan dan menambah baik proses pengurusan secara konsisten, selaras dengan piawaian antarabangsa.
Difahamkan, MS ISO 9001:2015 adalah piawaian yang mengiktiraf amalan pengurusan kualiti yang mementingkan kepuasan pelanggan serta keberkesanan organisasi.
Perkhidmatan Awam Sarawak akan terus berusaha meningkatkan sistem pengurusan berkualiti sebagai sebahagian daripada matlamat mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030.