SCSICA Iktiraf Kreativiti, Dedikasi Penjawat Awam Sarawak.

Posted on 26 Oct 2024
Source of News: Edisi UKAS
KUCHING: Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) 2024 yang menjadi kemuncak Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSIMon), mengiktiraf kreativiti dan dedikasi luar biasa penjawat awam dari pelbagai agensi.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, penyertaan 36 agensi yang melaksanakan pelbagai program, termasuk bengkel, latihan, sesi perkongsian, pertandingan inovasi, dan pameran mencerminkan kejayaan acara tahunan ini.

"Saya dimaklumkan bahawa sambutan yang diterima adalah sangat menggalakkan, dan penganjuran seperti ini berpotensi untuk memperluas pemahaman serta penerimaan anggota penjawat awam mengenai kepentingan inovasi.

“Oleh itu, Anugerah Kelestarian yang diperkenalkan buat julung kalinya bertujuan untuk memastikan idea-idea yang telah dihasilkan terus dipelihara bagi memastikan penambahbaikan yang berterusan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis SCSICA 2024 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Hotel Pullman pada Jumaat.

Sebanyak 12 kategori telah dipertandingkan, menampilkan usaha dan inovasi luar biasa daripada 50 Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK).

Terdahulu, Premier Sarawak telah menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Inovasi Premier, anugerah paling berprestij, di mana Kumpulan Bistari daripada Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Samarahan berjaya membawa pulang hadiah utama bernilai RM15,000.

Kumpulan IPOK dari Pejabat Residen Bahagian Mukah telah dinobatkan sebagai pemenang dalam kategori Pejabat Residen dan Daerah, sementara Kumpulan Lengkang Wijaya dari SMK Agama Miri mengungguli kategori Persekutuan.

Kedua-duanya menerima hadiah wang tunai berjumlah RM5,000.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan dan dif kenamaan lain.