KUCHING: Pasukan beregu campuran Sarawak mempamerkan prestasi luar biasa di Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 dengan meraih dua kemenangan penting dalam pusingan awal yang berlangsung di Pusat Squash Petrajaya, pada Sabtu.
Pada perlawanan pertama, pasangan beregu campuran Sarawak, Eugenia David dan Altamis Aqhar Sallam A Sufian berjaya menundukkan pasangan dari Melaka, Zhi Xuan Goh dan Veroon Heng, dengan kemenangan meyakinkan 2-0.
Pasangan Sarawak ini mempamerkan permainan yang kukuh, menguasai kedua-dua set tanpa memberi peluang kepada pihak lawan.
Dalam perlawanan kedua, Sarawak sekali lagi menyerlah apabila pasangan Nathalie Shu Eng Sim dan Harith Danial bin Jefri berjaya mengatasi pasangan Wilayah Persekutuan, Puteri Rania Zahirah Mior Ahmad Nazril dan Pradeep Dev Prakash dengan keputusan 2-1.
Perlawanan ini berlangsung sengit namun pasangan Sarawak berjaya mengharungi cabaran getir untuk mencatatkan kemenangan.
Kemenangan ini mengukuhkan kedudukan pasukan beregu campuran Sarawak dalam kejohanan, membuktikan potensi besar mereka untuk melangkah lebih jauh dalam SUKMA 2024.
Pada peringkat suku akhir kategori beregu campuran, Sarawak akan diwakili oleh Eugenia David dan Altamis Aqhar Sallam A Sufian, yang bakal berhadapan dengan pasangan dari Negeri Sembilan, Yu Jie Chen dan Isacc George Varughese Vivek.
Sementara itu, satu lagi pasangan Sarawak, Nathalie Shu Eng Sim dan Harith Danial bin Jefri, akan bertembung dengan pasangan Perak, Wen Min Ooi dan Izz Nabil Iman Shahrizan Azrol.
Bagaimanapun, dalam kategori perseorangan lelaki, Sarawak diwakili oleh Jua Rong Hi tewas kepada Joachim Chuah Han Wen dari Wilayah Persekutuan dengan keputusan 0-3.
Joachim mempamerkan dominasi penuh di gelanggang, meninggalkan Jua tanpa sebarang peluang untuk mengutip mata.
Nasib yang sama turut menimpa wakil perseorangan wanita Sarawak, Whitney Isabelle Anak Wilson, yang tewas 0-3 kepada pemain Sabah, Xin Ying Yee.
Kemenangan ini memastikan Sabah mara ke peringkat seterusnya, manakala Sarawak terpaksa akur dengan kekalahan tersebut.
Dengan keputusan ini, Sarawak gagal melangkah ke peringkat separuh akhir dalam kedua-dua kategori perseorangan lelaki dan wanita.
Hadir menyaksikan acara itu adalah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dr Ripin Lamat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Azizul Annuar Adenan.-EDISI UKAS