News

 

Sarawak Lakar Kemenangan Kedua Dalam Aksi Futsal

Posted on 18 Aug 2024
Source of News: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Skuad futsal Sarawak menewaskan Johor 4-1 untuk meraih kemenangan kedua dalam Kumpulan B pada temasya Sukan Malaysia ke-21 (SUKMA XXI) Sarawak 2024 di Stadium Tertutup Kota Samarahan pada Jumaat.

Selepas kemenangan 3-2 dengan Pahang pada aksi kedua pada Rabu lepas, pasukan tuan rumah bimbingan Faizal Zamri tidak perlu menunggu lama untuk berada di hadapan menerusi jaringan Mohamad Azrin Shahmin dan Mohammad Aedel Izzwan, kedua-dua gol pada minit ketiga dan keenam.

Johor terus bangkit dengan rentak serangan apabila Muhammad Dodie Al Fareq berjaya menghadiahkan satu gol pada minit ke-14.

Sorakan luar biasa daripada penonton menyuntik semangat Sarawak untuk terus menggandakan asakan hingga berjaya menyumbat gol ketiga pada minit ke-19 di penghujung separuh masa pertama seterusnya meninggalkan Johor dengan satu jaringan sehingga tamat separuh masa pertama menjadikan kedudukan 3-1.

Masuk separuh masa kedua, Radziman Radzuan terus menggandakan jaringan pada minit ke-37 menerusi percubaan dari dalam kotak penalti hasil rembatan kencang yang gagal ditampan penjaga gol Johor, Muhammad Haikal Iman.

Ia meletakkan Sarawak selesa dengan kedudukan 4-1 kekal sehingga wisel penamat untuk menghadiahkan tiga mata penuh yang cukup berharga buat skuad futsal SUKMA Sarawak.

Pasukan Sarawak dijadual bertemu dengan Selangor pada aksi perlawanan terakhir peringkat kumpulan B, jam 4.30 petang besok di Stadium Tertutup Samarahan. -EDISI UKAS