PELAKSANAAN AUDIT PENSIJILAN SARAWAK CIVIL SERVICE ENVIRONMENTAL STANDARD (SACSES) DI KEMENTERIAN PELANCONGAN, INDUSTRI KREATIF DAN SENI PERSEMBAHAN SARAWAK (MTCP)

Disiarkan pada 05 Nov 2026
Sumber Berita: STIU




Kuching, 5 November 2026 – Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) telah menjalani Audit Pensijilan Sarawak Civil Service Environmental Standard (SACSES) yang bertujuan untuk menilai tahap pematuhan, keberkesanan pelaksanaan serta impak inisiatif SACSES di peringkat kementerian dalam Perkhidmatan Awam Sarawak.
Audit ini telah dilaksanakan oleh pasukan juruaudit daripada Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) melalui proses semakan dokumen dan rekod sokongan, pemerhatian terhadap proses pelaksanaan, pengumpulan bukti audit serta sesi temu bual bersama pegawai yang bertanggungjawab. Penilaian yang dijalankan merangkumi empat komponen utama SACSES, iaitu Struktur Tadbir Urus, Pelaksanaan Amalan, Pembudayaan dan Kelestarian.

Sesi audit dimulakan dengan Mesyuarat Pembukaan Audit yang dipengerusikan oleh YBhg. Datu Morshidi Fredrick, Setiausaha Tetap MTCP merangkap Pengerusi SACSES, bersama YBrs. Dr. Suzie Lim Swee Yian, Penyelaras SACSES. Mesyuarat ini memberikan penerangan mengenai objektif, skop dan kaedah pelaksanaan audit bagi memastikan kelancaran proses penilaian. Sepanjang audit berlangsung, pasukan juruaudit telah menilai pelbagai aspek pelaksanaan SACSES bagi mengenal pasti tahap pematuhan, keberkesanan amalan hijau, jurang pelaksanaan serta ruang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan oleh kementerian.

Audit diakhiri dengan Mesyuarat Penutupan Audit yang turut dihadiri oleh YBhg. Datu Morshidi Fredrick, Setiausaha Tetap MTCP dan wakil pengurusan MEITD. Dalam mesyuarat tersebut, pasukan juruaudit telah membentangkan rumusan audit, termasuk penemuan positif, penemuan audit serta cadangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi memperkukuh lagi pelaksanaan SACSES di kementerian.
Pelaksanaan Audit Pensijilan SACSES ini mencerminkan komitmen berterusan MTCP dalam memperkukuh pengurusan alam sekitar yang sistematik, mampan dan berkesan. Inisiatif ini juga menyokong usaha membudayakan amalan hijau dalam persekitaran kerja serta meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab warga kementerian terhadap pemeliharaan alam sekitar, selaras dengan aspirasi Perkhidmatan Awam Sarawak ke arah perkhidmatan yang lebih lestari dan berkualiti.