PELAKSANAAN AUDIT PENSIJILAN SARAWAK CIVIL SERVICE ENVIRONMENTAL STANDARD (SACSES) DI KEMENTERIAN PENDIDIKAN, INOVASI DAN PEMBANGUNAN BAKAT SARAWAK (MEITD)
Disiarkan pada 02 Nov 2026
Sumber Berita: STIU


Kuching, 2 November 2026 – Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) telah menjalani Audit Pensijilan Sarawak Civil Service Environmental Standard (SACSES) bagi menilai tahap pematuhan kementerian terhadap keperluan standard pengurusan alam sekitar serta pelaksanaan amalan hijau dalam Perkhidmatan Awam Sarawak.
Audit ini telah dilaksanakan oleh pasukan juruaudit daripada Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) melalui proses semakan dokumen dan rekod sokongan, pemerhatian di lokasi, sesi temu bual serta pengumpulan bukti audit bagi menyokong penilaian yang dijalankan. Penilaian ini merangkumi empat komponen utama SACSES, iaitu Struktur Tadbir Urus, Pelaksanaan Amalan, Pembudayaan dan Kelestarian, selaras dengan keperluan pelaksanaan SACSES di peringkat agensi.
Sesi audit dimulakan dengan Mesyuarat Pembukaan Audit yang dihadiri oleh Setiausaha Tetap MEITD, YBhg. Datu Haji Adana Bin Haji Jed, Pengarah STIU, YBrs. Tuan Haji Abang Mohamad Porkan Bin Haji Abang Budiman, pihak pengurusan dan wakil penyelaras SACSES MEITD. Mesyuarat tersebut memberikan penerangan mengenai objektif, skop dan kaedah pelaksanaan audit bagi memastikan kelancaran proses penilaian. Sepanjang audit berlangsung, pasukan juruaudit telah menilai pelbagai aspek pelaksanaan SACSES melalui semakan dokumen, pemerhatian terhadap persekitaran kerja serta sesi temu bual bersama pegawai yang berkaitan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai tahap pematuhan dan keberkesanan pelaksanaan standard tersebut di kementerian.
Audit diakhiri dengan Mesyuarat Penutupan Audit yang turut dihadiri oleh wakil pengurusan MEITD. Dalam mesyuarat tersebut, pasukan juruaudit telah membentangkan rumusan hasil audit, termasuk penemuan positif, penemuan audit serta cadangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi memperkukuh lagi pelaksanaan SACSES di kementerian.
Pelaksanaan Audit Pensijilan SACSES ini mencerminkan komitmen MEITD dalam menyokong agenda kelestarian alam sekitar melalui pengurusan yang lebih sistematik, bertanggungjawab dan mampan. Inisiatif ini juga diharap dapat memperkukuh pembudayaan amalan hijau dalam kalangan warga kementerian serta menyumbang kepada usaha menjadikan Perkhidmatan Awam Sarawak lebih lestari, cekap dan berkualiti, selaras dengan aspirasi pembangunan Sarawak