AUDIT PENSIJILAN SACSES DI LEMBAGA PELABUHAN MIRI
Disiarkan pada 07 Oct 2026
Sumber Berita: STIU

MIRI, 7 Oktober 2026 – Audit Pensijilan Sarawak Civil Service Environmental Standard (SACSES) telah dilaksanakan di Lembaga Pelabuhan Miri (LPM) pada 7 Oktober 2026, bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Audit tersebut diketuai oleh Puan Nor Rafidah binti Rasli selaku Ketua Juruaudit , bersama d ua orang ahli juruaudit , iaitu Encik Abang Abdulrahman bin Salihin dan Encik Mohamad Yussof bin Bujang .
Program dimulakan dengan Taklimat Korporat yang disampaikan oleh Puan Serawa Budol, Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Miri , yang memberikan penerangan mengenai latar belakang organisasi, struktur tadbir urus, fungsi serta peranan LPM, di samping pelaksanaan amalan berkaitan pengurusan alam sekitar di agensi berkenaan.
Pelaksanaan audit ini bertujuan untuk menilai tahap pematuhan dan keberkesanan pelaksanaan SACSES di Lembaga Pelabuhan Miri, khususnya dari aspek pengurusan alam sekitar , amalan hijau, kebersihan dan kekemasan persekitaran kerja serta usaha penambahbaikan secara berterusan . Audit ini turut menjadi platform untuk mengenal pasti kekuatan dan ruang penambahbaikan bagi memastikan amalan pengurusan alam sekitar dapat dilaksanakan secara sistematik dan mampan.
Audit diakhiri dengan Mesyuarat Penutupan Audit yang dihadiri oleh pihak pengurusan dan wakil Lembaga Pelabuhan Miri serta pasukan juruaudit SACSES. Dalam mesyuarat tersebut, pasukan juruaudit telah membentangkan rumusan audit, termasuk penemuan positif, penemuan audit serta cadangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi memperkukuh lagi pelaksanaan SACSES di Lembaga Pelabuhan Miri.
Pelaksanaan Audit Pensijilan SACSES ini mencerminkan komitmen berterusan Lembaga Pelabuhan Miri dalam memperkukuh pengurusan alam sekitar yang sistematik, mampan dan berkualiti, di samping memupuk pembudayaan amalan hijau dalam kalangan warga kerja. Inisiatif ini juga menyokong aspirasi Perkhidmatan Awam Sarawak ke arah mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, meningkatkan kesedaran terhadap tanggungjawab alam sekitar serta memperkukuh kecemerlangan penyampaian perkhidmatan secara berterusan.