26 Ogos 2026 – Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak telah menjalani Audit Pensijilan Sarawak Civil Service Environmental Standard (SACSES) yang bertujuan untuk menilai tahap pematuhan agensi terhadap keperluan standard pengurusan alam sekitar serta pelaksanaan amalan hijau dalam Perkhidmatan Awam Sarawak.
Audit ini telah dilaksanakan oleh pasukan juruaudit daripada Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU), melalui proses semakan dokumen dan rekod sokongan, pemerhatian di lokasi, sesi temu bual serta pengumpulan bukti audit bagi menyokong penilaian yang dijalankan. Penilaian ini merangkumi empat komponen utama SACSES, iaitu Struktur Tadbir Urus, Pelaksanaan Amalan, Pembudayaan dan Kelestarian, selaras dengan keperluan pelaksanaan SACSES di peringkat agensi.
Sesi audit dimulakan dengan Mesyuarat Pembukaan Audit yang diketuai oleh Puan Juliana binti Hadari, Penyelaras SACSES. Mesyuarat ini turut dihadiri oleh, YBhg Datu Hajah Elean binti Masa’at, Akauntan Negeri Sarawak, Encik Christopher Danan Ak Binjie, Timbalan Akauntan Negeri, pegawai-pegawai kanan yang terdiri daripada Puan Dygku Siti Norbaya, Cik Rabiah binti Zaidan dan Encik Rolend Tama, serta Ketua-Ketua Unit, Ahli Jawatankuasa SACSES dan Ketua-Ketua Zon. Mesyuarat ini memberikan penerangan mengenai objektif, skop dan kaedah pelaksanaan audit. Sepanjang audit berlangsung, pasukan juruaudit telah menilai pelbagai aspek pelaksanaan SACSES melalui semakan dokumen, pemerhatian dan sesi temu bual bagi memastikan tahap pematuhan serta keberkesanan pelaksanaan SACSES di Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak.
Audit diakhiri dengan Mesyuarat Penutupan Audit yang turut dihadiri oleh Puan Juliana binti Hadari, Penyelaras SACSES Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak, Encik Christopher Danan Ak Binjie, Timbalan Akauntan Negeri, pegawai-pegawai kanan, Ketua-Ketua Unit, Ahli Jawatankuasa SACSES serta Ketua-Ketua Zon. Dalam mesyuarat tersebut, pasukan juruaudit telah membentangkan rumusan audit, termasuk penemuan positif, penemuan audit serta cadangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi memperkukuh lagi pelaksanaan SACSES di Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak.
Pelaksanaan Audit Pensijilan SACSES ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak dalam memperkukuh pengurusan alam sekitar yang sistematik, mampan dan berkualiti, di samping memupuk pembudayaan amalan hijau dalam kalangan warga kerja selaras dengan aspirasi Perkhidmatan Awam Sarawak ke arah kecemerlangan penyampaian perkhidmatan.