PELAKSANAAN AUDIT PENSIJILAN SACSES DI KEMENTERIAN UTILITI DAN TELEKOMUNIKASI SARAWAK (MUTS)

Disiarkan pada 26 Sep 2026
Sumber Berita: STIU



26 Ogos 2026Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS) telah menjalani Audit Pensijilan Sarawak Civil Service Environmental Standard (SACSES) yang bertujuan untuk menilai tahap pematuhan agensi terhadap keperluan standard pengurusan alam sekitar serta pelaksanaan amalan hijau dalam Perkhidmatan Awam Sarawak.

Audit ini telah dilaksanakan oleh pasukan juruaudit daripada Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU), melalui proses semakan dokumen dan rekod sokongan, pemerhatian di lokasi, sesi temu bual serta pengumpulan bukti audit bagi menyokong penilaian yang dijalankan. Penilaian ini merangkumi empat komponen utama SACSES, iaitu Struktur Tadbir Urus, Pelaksanaan Amalan, Pembudayaan dan Kelestarian, selaras dengan keperluan pelaksanaan SACSES di peringkat agensi.

Sesi audit dimulakan dengan Mesyuarat Pembukaan Audit yang diketuai oleh Puan Betty Anak Nyaingki, Penyelaras SACSES. Mesyuarat ini memberikan penerangan mengenai objektif, skop dan kaedah pelaksanaan audit. Sepanjang audit berlangsung, pasukan juruaudit telah menilai pelbagai aspek pelaksanaan SACSES melalui semakan dokumen, pemerhatian dan sesi temu bual bagi memastikan tahap pematuhan serta keberkesanan pelaksanaan SACSES di Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak.

Audit diakhiri dengan Mesyuarat Penutupan Audit yang turut dihadiri oleh Puan Betty Anak Nyaingki, Penyelaras SACSES dan Reduan Bin Haji Bujet, Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan. Dalam mesyuarat tersebut, pasukan juruaudit telah membentangkan rumusan audit, termasuk penemuan positif, penemuan audit serta cadangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi memperkukuh lagi pelaksanaan SACSES di Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS).

Pelaksanaan Audit Pensijilan SACSES ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS) dalam memperkukuh pengurusan alam sekitar yang sistematik, mampan dan berkualiti, di samping memupuk pembudayaan amalan hijau dalam kalangan warga kerja selaras dengan aspirasi Perkhidmatan Awam Sarawak ke arah kecemerlangan penyampaian perkhidmatan.