KUCHING: Sebanyak 49 kumpulan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) daripada pelbagai agensi di bawah Jabatan Premier Sarawak dan Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) menyertai Mini Konvensyen Innovative and Creative Circles (ICC) 2026 yang berlangsung dari 27 hingga 30 April lalu.
Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee dalam Majlis Anugerah Mini Konvensyen ICC 2026 Peringkat Jabatan Premier Sarawak di Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), di sini, pada Sabtu.
Mini Konvensyen ICC 2026 mempertandingkan kategori Unit-Unit di Jabatan Premier Sarawak, Pentadbiran Bahagian, Agensi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) serta kategori Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty).
Bagi kategori Unit-Unit di Jabatan Premier Sarawak, kumpulan “Lavender” daripada Unit Audit Dalam dinobatkan sebagai Johan, manakala “Evolve X II” daripada Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia serta Unit Pentadbiran muncul Naib Johan.
Tempat ketiga pula dimenangi bersama oleh kumpulan “Waraqat” daripada Majlis Islam Sarawak dan “The Divine’s Guardians” daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain.
Bagi kategori Pentadbiran Bahagian, kumpulan “TAPOW” daripada Pejabat Residen Bahagian Mukah berjaya merangkul gelaran Johan, diikuti “RESQ10” daripada Pejabat Residen Bahagian Limbang sebagai Naib Johan dan “KARABAU” daripada Pejabat Daerah Limbang di tempat ketiga.
Sementara itu, kategori Agensi SCS menyaksikan kumpulan “Prime Asset Pioneers (PAP)” daripada Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak muncul Johan.
Tempat Naib Johan dimenangi kumpulan “DAS (Decide. Act. Succeed)” daripada Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak manakala kumpulan “SYURA 5.1” daripada Tabung Baitulmal Sarawak menduduki tempat ketiga.
Bagi kategori Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty), kumpulan “ENVIRO WARRIOR” daripada Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dinobatkan sebagai Johan.
Naib Johan pula dimenangi kumpulan “GREEN GUARDIANS” daripada NREB dan MEESty.
Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pendekatan turun padang menerusi pelaksanaan Program Sarawakku Sayang 2026 sebagai platform bersepadu dalam menyampaikan pelbagai perkhidmatan kerajaan secara terus kepada rakyat.
Program ini merupakan inisiatif murni yang menekankan pendekatan mendekati rakyat bagi memahami keperluan di peringkat akar umbi di samping menyediakan sebuah platform Pusat Sehenti (One-Stop Centre) yang menghimpunkan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO) serta sektor swasta.
Melalui platform tersebut, rakyat berpeluang mengakses pelbagai perkhidmatan meliputi pemeriksaan kesihatan, bantuan pendidikan, peluang keusahawanan, khidmat kebajikan serta perkhidmatan digital kerajaan termasuk pembayaran bil utiliti, saman dan premium tanah.
Pelaksanaan program ini berteraskan beberapa konsep utama iaitu pendekatan turun padang, program kesedaran bagi mempromosikan dasar dan inisiatif kerajaan, penyampaian perkhidmatan secara outreach serta jalinan mesra antara rakyat dan kerajaan yang menyemarakkan feel good factor dalam kalangan masyarakat.
Seiring itu, program ini dilaksanakan dengan objektif untuk menyampaikan dasar dan inisiatif kerajaan secara terus, memperkukuh hubungan antara kerajaan dan komuniti setempat serta memupuk semangat kebersamaan, perpaduan dan kecintaan terhadap Sarawak.
Program Sarawakku Sayang turut merangkumi lima komponen utama iaitu majlis rasmi, pameran utama, kaunter perkhidmatan, gerai jualan usahawan serta aktiviti masyarakat.
Komponen pameran utama melalui Sarawak Pavilion menampilkan pencapaian, pelaksanaan serta aspirasi pembangunan negeri termasuk aspek jaringan jalan raya, bekalan air dan elektrik, manakala kaunter perkhidmatan menyediakan pelbagai perkhidmatan berfokus kepada kesihatan, pendidikan, keusahawanan, kebajikan serta digital dan inovasi.
Selain itu, gerai jualan melalui Sarawak Kitchen memberi ruang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk makanan dan kraftangan, manakala aktiviti masyarakat merangkumi program sukan dan rekreasi seperti fun run, sukan rakyat, persembahan kebudayaan, hiburan serta e-peraduan.
Pengisian program selama tiga hari merangkumi pelbagai aktiviti termasuk pameran utama, majlis perasmian, sukaneka rakyat, konsert, aktiviti komuniti serta program kesihatan seperti senamrobik dan fun run sebelum diakhiri dengan majlis penutupan.