PELAKSANAAN AUDIT PENSIJILAN SACSES DI JABATAN KERJA RAYA SARAWAK

Disiarkan pada 19 Aug 2026
Sumber Berita: STIU
19 OGOS 2026 – Jabatan Kerja Raya Sarawak telah menjalani Audit Pensijilan Sarawak Civil Service Environmental Standard (SACSES) yang bertujuan untuk menilai tahap pematuhan, keberkesanan pelaksanaan serta impak inisiatif SACSES di peringkat agensi dalam Perkhidmatan Awam Sarawak.
Audit ini telah dilaksanakan oleh pasukan juruaudit daripada Sarawak Transformation and Innovation Unit (STIU) melalui proses semakan dokumen dan rekod sokongan, pemerhatian terhadap proses pelaksanaan, pengumpulan bukti audit serta sesi temu bual bersama pegawai yang bertanggungjawab. Penilaian yang dijalankan merangkumi empat komponen utama SACSES, iaitu Struktur Tadbir Urus, Pelaksanaan Amalan, Pembudayaan dan Kelestarian.
Sesi audit dimulakan dengan Mesyuarat Pembukaan Audit yang dipengerusikan oleh Penyelaras SACSES, Ir. Sim Hui Kheng, Pengurus Kualiti, bersama Ir. Chang Kueh Chin, Timbalan Pengarah Sektor Aset, Hajah Sharifah Liz Farawati binti Omar, Timbalan Pengarah Sektor Bangunan dan Pakar dan Ts. Meehan Anak Jorai, Timbalan Pengarah Sektor Perkhidmatan Teknikal. Mesyuarat ini memberikan penerangan mengenai objektif, skop dan kaedah pelaksanaan audit. Sepanjang audit berlangsung, pasukan juruaudit telah menilai pelbagai aspek pelaksanaan SACSES bagi mengenal pasti tahap pematuhan, jurang pelaksanaan serta ruang penambahbaikan agensi.
Audit diakhiri dengan Mesyuarat Penutupan Audit yang dipengerusikan oleh Pengerusi SACSES, Datu Adj. Prof. Ir. Ts. Gs. Br. PMr. QPr. Dr. Cassidy Anak Morris, bersama Ir. Wisil Anak Lichok, Timbalan Pengarah Sektor Infrastruktur dan Ir. Sim Hui Kheng, Penyelaras SACSES merangkap Pengurus Kualiti. Dalam mesyuarat tersebut, pasukan juruaudit telah membentangkan rumusan audit, termasuk penemuan positif, penemuan audit serta cadangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi memperkukuh lagi pelaksanaan SACSES di Jabatan Kerja Raya Sarawak.
Pelaksanaan Audit Pensijilan SACSES ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Kerja Raya Sarawak dalam memperkukuh pengurusan alam sekitar yang sistematik, mampan dan berkesan, di samping memupuk amalan serta budaya kerja yang lebih lestari selaras dengan aspirasi Perkhidmatan Awam Sarawak ke arah kecemerlangan penyampaian perkhidmatan.