BENGKEL PEMAHAMAN TATACARA PENGURUSAN ASET ALIH DAN STOR KERAJAAN SARAWAK BAGI JURUAUDIT INISIATIF TRANSFORMASI DAN INOVASI (TI) PERKHIDMATAN AWAM SARAWAK TAHUN 2026
Disiarkan pada 11 Aug 2026
Sumber Berita: STIU
KUCHING, 11 & 12 Ogos 2026 – Bengkel Pemahaman Tatacara Pengurusan Aset Alih dan Stor Kerajaan Sarawak bagi Juruaudit Inisiatif Transformasi dan Inovasi (TI) Perkhidmatan Awam Sarawak Tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya selama dua (2) hari, bertempat di The Waterfront Hotel, Kuching.
Bengkel tersebut telah menghimpunkan seramai 38 orang peserta yang terdiri daripada Juruaudit MS ISO 9001:2015 Jabatan Premier Sarawak, Juruaudit SACSES Perkhidmatan Awam Sarawak, pegawai STIU, sekretariat serta penceramah bengkel. Majlis pembukaan bengkel turut disempurnakan melalui ucapan aluan oleh Ketua Bahagian Audit dan Inspektorat, STIU, Puan Julie Chong. Bengkel ini dikendalikan oleh Encik Rodney Gavin Anak Simon, Ketua Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Aset sebagai fasilitator. Turut terlibat dalam penyampaian bengkel ialah Encik Mazlan Mohamat, Pegawai Tadbir daripada Jabatan Agama Islam Sarawak.
Penganjuran bengkel ini bertujuan meningkatkan kefahaman dan kompetensi juruaudit terhadap tatacara pengurusan aset alih dan stor yang berkuat kuasa dalam Perkhidmatan Awam Sarawak. Pengurusan aset dan stor yang sistematik, cekap serta mematuhi peraturan merupakan aspek penting dalam memperkukuh tadbir urus organisasi, akauntabiliti serta menyokong keberkesanan Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) MS ISO 9001:2015.
Sepanjang hari pertama bengkel, para peserta telah diberikan penerangan berkaitan Tatacara Pengurusan Aset Alih Kerajaan Sarawak, merangkumi dasar dan pekeliling berkaitan serta peranan dan tanggungjawab pegawai yang terlibat dalam pengurusan aset. Peserta turut didedahkan kepada tatacara penerimaan, pendaftaran dan penggunaan aset serta aspek pemeriksaan, penyelenggaraan dan pemindahan aset.
Sesi pada hari pertama turut merangkumi penerangan berkaitan pelupusan aset serta pengurusan kehilangan dan hapus kira, diikuti dengan sesi soal jawab dan Quiz bagi menguji tahap kefahaman peserta terhadap perkara yang telah dibincangkan.
Pada hari kedua, bengkel diteruskan dengan pendedahan mengenai Tatacara Pengurusan Stor Kerajaan Sarawak, termasuk fungsi stor, proses penerimaan, perekodan, penyimpanan dan pengeluaran stok. Peserta turut diberikan penerangan mengenai kawalan inventori dan pengurusan stor yang meliputi pemeriksaan dan verifikasi stok serta aspek keselamatan dan kebersihan.
Selain itu, peserta turut didedahkan kepada tatacara pindahan dan pelupusan stok serta pengurusan kehilangan dan hapus kira. Sesi bengkel diakhiri dengan rumusan, sesi soal jawab, Quiz dan maklum balas bengkel bagi mendapatkan pandangan peserta terhadap pelaksanaan program.
Melalui penganjuran bengkel ini, para juruaudit diharapkan dapat meningkatkan keupayaan dalam menilai tahap pematuhan pengurusan aset dan stor, di samping mengenal pasti ketakakuran (Nonconformity - NC), risiko serta peluang penambahbaikan (Opportunity for Improvement - OFI) semasa pelaksanaan audit Inisiatif Transformasi dan Inovasi (TI) Perkhidmatan Awam Sarawak. Pendedahan ini seterusnya diharap dapat menyokong usaha Jabatan Premier Sarawak dalam memperkukuh tadbir urus, akauntabiliti dan penambahbaikan berterusan selaras dengan prinsip-prinsip MS ISO 9001:2015.