STIU WAVE – PROGRAM CSR PLOGGING 2026 PUPUK AMALAN HIDUP SIHAT DAN KEPRIHATINAN TERHADAP ALAM SEKITAR
Disiarkan pada 18 Jul 2026
Sumber Berita: Edisi STIU
KUCHING, 18 Julai 2026 – Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) telah menganjurkan Program STIU WAVE – CSR Plogging 2026 di Taman Perpaduan (Reservoir Park), Kuching pada Sabtu, 18 Julai 2026.
Program yang disertai oleh warga STIU ini merupakan salah satu inisiatif di bawah STIU WAVE (Workplace Attitude and Values Excellence) 2026. Penganjurannya bertujuan untuk menggalakkan amalan gaya hidup sihat, meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga kebersihan persekitaran serta menyokong pembudayaan enam (6) Nilai Bersama Perkhidmatan Awam Sarawak dalam kalangan warga STIU.
Program dimulakan dengan sesi senamrobik Zumba bersama komuniti yang dikendalikan oleh pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai aktiviti pemanasan badan. Para peserta kemudiannya menyertai aktiviti brisk walk sebelum meneruskan aktiviti CSR plogging iaitu berjalan sambil mengutip sampah di sekitar kawasan Taman Perpaduan.
Sepanjang aktiviti tersebut, warga STIU berpeluang menyertai aktiviti fizikal secara berkumpulan dalam suasana santai di luar persekitaran pejabat. Program ini turut menyediakan ruang kepada para peserta untuk berinteraksi dan bekerjasama dalam melaksanakan aktiviti yang berkaitan dengan kebersihan persekitaran.
Penganjuran STIU WAVE – CSR Plogging 2026 merupakan sebahagian daripada usaha dalaman STIU untuk menggalakkan penglibatan warga dalam aktiviti kesihatan, kesejahteraan dan kesedaran terhadap alam sekitar.
Melalui pelaksanaan program seumpama ini, STIU berharap agar kesedaran terhadap kepentingan menjaga kesihatan dan kebersihan persekitaran dapat terus digalakkan dalam kalangan warga STIU.