14 JULAI 2026 – Jabatan Tanah dan Survei Sarawak telah menjalani Audit Pensijilan Sarawak Civil Service Environmental Standard (SACSES) yang bertujuan untuk menilai tahap pematuhan agensi terhadap keperluan standard pengurusan alam sekitar serta amalan hijau dalam Perkhidmatan Awam Sarawak.
Audit ini telah dilaksanakan oleh pasukan juruaudit daripada Sarawak Transformation and Innovation Unit (STIU), Jabatan Premier Sarawak, melalui proses semakan dokumen, pemerhatian di lokasi serta sesi temu bual bersama pegawai dan kakitangan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak. Penilaian yang dijalankan merangkumi pelaksanaan dasar, prosedur, pengurusan sumber, pematuhan terhadap keperluan SACSES serta usaha penambahbaikan berterusan yang dilaksanakan oleh agensi.
Sesi audit dimulakan dengan Mesyuarat Pembukaan Audit yang memberikan penerangan mengenai objektif, skop dan kaedah pelaksanaan audit. Sepanjang audit berlangsung, pasukan juruaudit telah menilai pelbagai aspek pelaksanaan SACSES bagi memastikan sistem pengurusan alam sekitar dilaksanakan secara berkesan dan memenuhi keperluan pensijilan.
Audit diakhiri dengan Mesyuarat Penutupan Audit, di mana pasukan juruaudit membentangkan rumusan audit, termasuk penemuan positif, penemuan dan cadangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi memperkukuh lagi pelaksanaan SACSES di Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
Pelaksanaan Audit Pensijilan SACSES ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak dalam membudayakan pengurusan alam sekitar yang sistematik, mampan dan berkualiti selaras dengan aspirasi Perkhidmatan Awam Sarawak ke arah kecemerlangan penyampaian perkhidmatan