PROGRAM STRATEGIC RELATIONS CHIEF TRANSFORMATION OFFICER (CTO) DAN TRANSFORMATION OFFICER (TO)

Posted on 24 Jun 2026
Source of News: STIU


KUCHING, 24 Jun – Seramai 120 pegawai yang terdiri daripada Chief Transformation Officer (CTO) dan Transformation Officer (TO) daripada Kementerian, Unit di bawah Jabatan Premier Sarawak, Jabatan Kerajaan Sarawak serta pentadbiran bahagian menghadiri Program Strategic Relations with Chief Transformation Officer (CTO) and Transformation Officer (TO).

Program anjuran Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU), Jabatan Premier Sarawak itu bertemakan “Empowering Quality Culture” telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi).

Program tersebut bertujuan menjadi platform jalinan hubungan dan perkongsian strategik antara CTO serta TO di seluruh Perkhidmatan Awam Sarawak, di samping meningkatkan kefahaman termasuk perkongsian maklumat berkaitan pelbagai Inisiatif Kualiti (Quality Initiatives - QI) yang dilaksanakan bagi memperkukuh budaya kecemerlangan dan penambahbaikan berterusan dalam penyampaian perkhidmatan awam.
Dalam ucapan perasmiannya, Datu Hii menegaskan bahawa transformasi satu kemestian dalam memastikan organisasi sektor awam sentiasa relevan, responsif dan berupaya menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat.

Beliau berkata, CTO dan TO memainkan peranan penting sebagai pemacu utama yang menghubungkan aspirasi transformasi Kerajaan Sarawak dengan pelaksanaan di peringkat agensi.
“CTO dan TO bukan sekadar menyelaras pelaksanaan program atau menyediakan laporan, sebaliknya perlu menjadi agen perubahan yang mampu mempengaruhi budaya kerja organisasi, menggalakkan inovasi serta memacu penambahbaikan secara berterusan,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kejayaan sesuatu inisiatif kualiti bukan hanya bergantung kepada mekanisme pelaksanaan, tetapi turut dipengaruhi oleh kekuatan kepimpinan, komitmen organisasi, keberkesanan pemantauan dan kesediaan warga kerja untuk menerima serta menyesuaikan diri dengan perubahan.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan CTO dan TO untuk terus meningkatkan kompetensi melalui latihan, kursus dan pensijilan profesional dalam bidang berkaitan transformasi organisasi seperti Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) MS ISO 9001:2015, Regulatory Impact Analysis (RIA), Business Process Reengineering (BPR) dan pengurusan prestasi organisasi.

Menurut beliau, setiap latihan dan pensijilan yang diperoleh perlu dilihat sebagai pelaburan organisasi yang harus diterjemahkan kepada peningkatan keupayaan agensi melalui perkongsian ilmu, bimbingan serta pelaksanaan projek penambahbaikan yang memberi manfaat kepada organisasi dan rakyat.

Forum yang berlangsung sepanjang petang itu menampilkan perkongsian daripada sembilan panel yang mewakili pelbagai inisiatif transformasi dan kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak. Antara topik yang dibincangkan termasuk Sarawak Civil Service One Team Retreat (SCS OTR), Key Focus Activities 2.0 (KFA 2.0), Sarawak Civil Service Environmental Standard (SACSES), Sarawak Civil Service Folio (SCS-FOLIO), Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) MS ISO 9001:2015, Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSIMon), Kumpulan Kreatif dan Inovatif (KIK), SCS Scorecard, Kelestarian Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS-NEXT) serta Anugerah Kualiti  Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS).

Panel yang terlibat terdiri daripada Encik Perez Anak Ibai, Encik Tay Nguan Hua, Encik Mohd. Nor Iman Bin Tomudi, Encik Jerry Anak Jimbon, Encik Mirzuandy Bin Chuchu, Encik Abdul Malik Syafuan Bin Adam Malik, Puan Hajah Rajanah Jasmin Binti Abu Bakar, Encik Aaron Zachary Bin Hilary dan Puan Suzy Anak Johnson.        Sesi forum tersebut telah dikendalikan oleh moderator, Puan Herlina Binti Ajaib Jamahari.

Melalui penganjuran program ini, STIU berharap jaringan kerjasama antara CTO dan TO dapat terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan inisiatif transformasi serta kualiti di agensi masing-masing berjalan secara lebih berkesan, sekali gus menyokong usaha memperkasakan budaya kualiti termasuk kecemerlangan dalam          Perkhidmatan Awam Sarawak.