BENGKEL PERALIHAN KE SISTEM ePERFORMANCE BAHARU PERKHIDMATAN AWAM SARAWAK STIU TAHUN 2026

Disiarkan pada 26 Jun 2026
Sumber Berita: STIU



KUCHING, 26 Jun 2026
Bengkel Peralihan ke Sistem ePerformance Baharu Perkhidmatan Awam Sarawak STIU Tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya selama dua (2) hari, iaitu pada 25 hingga 26 Jun 2026, bertempat di Raia Hotel & Convention Centre, Kuching.
 
Bengkel tersebut menghimpunkan warga kerja STIU bersama pegawai dan kakitangan daripada Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) bagi mengikuti latihan berkaitan penggunaan Sistem ePerformance Baharu Perkhidmatan Awam Sarawak. Program ini dianjurkan sebagai persediaan menjelang pelaksanaan rasmi sistem tersebut yang akan bermula pada 1 Julai 2026.
 
Sepanjang bengkel, para peserta telah diperkenalkan dengan fungsi-fungsi utama Sistem ePerformance Baharu serta diberikan pendedahan secara teori dan latihan amali mengenai cara penggunaannya. Antara pengisian utama bengkel termasuk penyediaan Key Performance Indicator (KPI) individu, perekodan tugasan harian melalui modul task creation and record serta tatacara pengisian, pengemaskinian dan pemantauan maklumat prestasi dalam sistem.
 
Bagi memastikan sesi latihan berjalan dengan lebih teratur dan berkesan, peserta telah dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B. Pendekatan ini membolehkan setiap peserta memperoleh bimbingan secara lebih menyeluruh melalui sesi latihan praktikal dan soal jawab bersama fasilitator.
 
Penganjuran bengkel ini diharap dapat meningkatkan tahap kefahaman dan kesiapsiagaan warga kerja STIU serta Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) dalam mengadaptasi penggunaan Sistem ePerformance Baharu. Melalui pendedahan yang diberikan, para peserta diharapkan dapat melaksanakan sistem ini dengan lebih yakin dan berkesan, sekali gus memastikan pelaksanaan rasmi pada 1 Julai 2026 berjalan dengan lancar serta menyokong usaha memperkukuh pengurusan prestasi Perkhidmatan Awam Sarawak melalui pendigitalan