SARAWAK RANGKUL RANGKUL DUA LAGI PENGIKTIRAFAN MALAYSIA BOOK OF RECORDS MEMACU AGENDA TRANSFORMASI & INOVASI PERKHIDMATAN AWAM SARAWAK

Posted on 09 Jun 2026
Source of News: STIU

KUCHING, 9 Jun 2026 – Perkhidmatan Awam Sarawak terus melakar mercu tanda baharu dalam landskap tadbir urus moden apabila Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU), Jabatan Premier Sarawak, secara rasmi menerima dua pengiktirafan berprestij daripada The Malaysia Book of Records (MBR) hari ini.

Pencapaian ini merupakan kesinambungan daripada pensijilan yang telah diterima sebelum ini, iaitu:

  • First Government Agency to Receive ISO 9001:2015 Quality Management Systems (Sarawak Divisional Administration)

  • Most Agencies Implementing Continuous Performance Measurement Balanced Scorecard (100 Agencies)

  • Most Government Agencies in a Multi-Tier Quality Evaluation Framework (171 Agencies)

Pengiktirafan pertama yang diterima kali ini adalah bagi kategori “First Public Service Agency to Implement a Sustainable Transformation and Innovation Framework”. STIU menjadi agensi perkhidmatan awam pertama di Malaysia yang berjaya membangunkan kerangka kerja kelestarian khusus untuk projek transformasi dan inovasi perkhidmatan awam melalui kerangka SCS-NEXT.

Pengiktirafan kedua pula adalah “The First Integrated Public Sector Excellence Certification Ecosystem by a State Government in Malaysia”. Ia menandakan STIU sebagai agensi pertama di Malaysia yang membangunkan ekosistem pensijilan bersepadu, sekali gus meletakkan STIU sebagai Badan Pensijilan rasmi bagi inisiatif transformasi, inovasi, dan kecemerlangan seluruh Perkhidmatan Awam Sarawak.

Pencapaian ini membuktikan komitmen jitu Kerajaan Sarawak untuk memastikan agenda inovasi dan penambahbaikan bukan hanya bersifat sementara, tetapi dibentuk untuk memberi impak berterusan melalui penilaian aspek kesinambungan, penambahbaikan, replikasi, dan nilai jangka panjang. Selari dengan pemerkasaan tersebut, Ekosistem Pensijilan Kecemerlangan Sektor Awam Bersepadu diperkenalkan sebagai penanda aras penilaian yang lebih sistematik, berstruktur, dan berasaskan bukti (evidence-based).

Sinergi kedua-dua inisiatif ini akan dilaksanakan merentasi pelbagai agensi bagi menyelaraskan standard kompetensi penjawat awam dengan Agenda Transformasi dan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak. Langkah strategik ini dijangka terus memacu kecekapan pentadbiran, mengurangkan kerenah birokrasi, serta mewujudkan ekosistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih mesra perniagaan, responsif, dan berorientasikan hasil demi kesejahteraan rakyat Sarawak.

Majlis penyampaian sijil telah disempurnakan oleh YBrs. Pengarah STIU, Encik Superi Bin Awang Said, yang menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR) sebelum diserahkan kepada YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee. Dalam ucapan beliau, YBhg. Datu menekankan agar pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam Sarawak (PANS), khususnya STIU, terus menunjukkan komitmen dan kesungguhan berterusan dalam menerajui agenda transformasi dan inovasi perkhidmatan awam negeri.

Pencapaian ini sejajar dengan aspirasi PANS yang berteraskan kerakyatan, menumpukan kepada penyampaian perkhidmatan yang cekap, berimpak tinggi, serta selari dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS 2030).