KUCHING, 9 Mei — Sarawak sekali lagi melakar pencapaian membanggakan apabila menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records bagi “Most Government Agencies in a Multi-Tier Quality Evaluation Framework” menerusi pelaksanaan Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS) 2025.
Penghargaan tersebut diberikan kepada Jabatan Premier Sarawak melalui Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) atas komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh budaya kecemerlangan, tadbir urus serta mutu penyampaian perkhidmatan awam.
AKPANS 2025 melibatkan penyertaan rasmi sebanyak 171 agensi kerajaan di seluruh Sarawak. Inisiatif ini dilaksanakan melalui pendekatan penilaian berperingkat yang menyeluruh melibatkan penilaian kendiri dan laporan pembuktian, desktop assessment serta lawatan tapak.
Kriteria penilaian berasaskan Malaysia Business Excellence Framework (MBEF) yang disesuaikan dengan keutamaan Sarawak termasuk inovasi, tadbir urus, keberkesanan penyampaian perkhidmatan, kesejahteraan warga kerja dan impak kepada rakyat.
Seperkara yang turut menarik perhatian warga perkhidmatan awam di Malaysia khususnya di Sarawak ialah pendekatan penilaian prestasi berasaskan Business Excellence (BE) ini diterajui oleh STIU yang telah dipersijilkan pada 23 Disember 2024. STIU juga merupakan agensi kerajaan yang memperoleh markah tertinggi dalam tempoh pensijilan terpantas sejak pendekatan BE diperkenalkan, mencerminkan keupayaan organisasi tersebut dalam mengangkat standard pengurusan sektor awam.
Selain mengiktiraf pencapaian agensi, AKPANS turut berperanan sebagai platform intervensi penambahbaikan berterusan. Dapatan penilaian digunakan untuk mengenal pasti ruang pengukuhan khususnya dari aspek pelaksanaan, dokumentasi dan penyampaian perkhidmatan agar tindakan susulan dapat dilaksanakan secara lebih bersasar bagi meningkatkan prestasi organisasi.
Sijil pengiktirafan The Malaysia Book of Records tersebut telah disampaikan semasa Majlis Anugerah Mini Konvensyen Innovative and Creative Circle (ICC) 2026 Peringkat Jabatan Premier Sarawak sebagai simbol penghargaan terhadap usaha memperkukuh budaya inovasi dan kecemerlangan sektor awam.
Pengarah STIU, Superi Bin Awang Said berkata, pendekatan ini mencerminkan komitmen Sarawak dalam membudayakan prestasi tinggi dan penyampaian berteraskan rakyat selaras dengan agenda Post COVID-19 Development Strategy (PCDS) 2030 serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Pencapaian ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai peneraju transformasi sektor awam di Malaysia.