KUCHING, 30 April 2026 – Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) pada hari ini telah menerima kunjungan dari Malaysia Productivity Corporation (MPC) bagi sesi pengauditan pelaksanaan Sarawak Civil Service Environmental Standard (SACSES).
Sesi audit ini telah dikendalikan oleh dua orang juruaudit dari MPC. Warga kerja STIU telah memberikan kerjasama yang padu sepanjang proses tersebut berlangsung, mencerminkan komitmen tinggi organisasi dalam menyokong dan mengekalkan penanda aras inisiatif SACSES.
Pelaksanaan audit tersebut merupakan usaha berterusan untuk memastikan tadbir urus persekitaran tempat kerja berada pada tahap yang teratur, kondusif dan sistematik selaras dengan kriteria SACSES. Ia juga bertujuan menilai tahap pematuhan organisasi terhadap amalan terbaik dalam pengurusan persekitaran kerja.
Sepanjang sesi audit, penilaian telah melibatkan beberapa aspek penting termasuk pengurusan ruang kerja, susun atur fasiliti, kelengkapan dokumentasi serta pelaksanaan amalan kerja harian yang menyokong peningkatan kecekapan dan produktiviti warga kerja.
Penilaian audit oleh pihak MPC ini diharap dapat terus memperkukuhkan budaya kerja yang lebih efisien dan berdaya saing dalam kalangan warga STIU, seterusnya menjadi contoh teladan dalam menyokong usaha ke arah penyampaian perkhidmatan awam yang cemerlang di Sarawak.