SARAWAKKU SAYANG 2026 BAHAGIAN LIMBANG

Disiarkan pada 12 Apr 2026
Sumber Berita: Edisi STIU



LIMBANG, 10-12 April 2026
Program Sarawakku Sayang (SKS) yang merupakan inisiatif murni Kerajaan Sarawak terus mendapat sambutan hangat apabila singgah di Limbang, sekali gus mendekatkan kerajaan dengan rakyat melalui pelbagai perkhidmatan dan aktiviti turun padang.

SKS berfungsi sebagai Pusat Sehenti (One-Stop Centre) yang menghimpunkan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta bagi menawarkan perkhidmatan utama, produk, khidmat nasihat dan aktiviti sampingan. Antara pengisian menarik termasuk ceramah, keusahawanan, sukan dan rekreasi, kesenian dan kebudayaan serta persembahan hiburan.

Program ini bukan sahaja menyediakan kemudahan kepada rakyat, malah menyemarakkan “feel good factor” dengan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap usaha kerajaan dalam membawa pembangunan, memperkukuh sosioekonomi serta menaikkan taraf hidup rakyat.

Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) t memainkan peranan penting dengan menghimpunkan pelbagai idea daripada orang awam dan penjawat awam melalui inisiatif pameran MyCreative Idea. Inisiatif ini bertujuan menambah baik perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak, selain menjadi salah satu medium untuk memperkukuh keterangkuman sosial dengan melibatkan rakyat secara langsung dalam proses pembangunan negeri.

Suasana bertambah meriah dengan sokongan padu penduduk setempat yang hadir beramai-ramai. Kehadiran mereka mencerminkan semangat perpaduan dan kerjasama erat antara rakyat dan kerajaan, sekali gus mengekalkan kesejahteraan serta keharmonian negeri.