MAJLIS RAMAH TAMAH AIDILFITRI STIU PERKUKUH SINERGI RAKAN STRATEGIK 7 APRIL 2026 | KUCHING, SARAWAK

Disiarkan pada 07 Apr 2026
Sumber Berita: STIU
KUCHING, 7 April 2026 – Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) telah menganjurkan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Bersama Rakan Strategik di Kuching hari ini sebagai platform memperkukuh hubungan kerjasama serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan rakan strategik.

Majlis yang diadakan dengan tema “Memperkukuh Sinergi, Memacu Transformasi, Menyemarak Inovasi, Menuju Uniti Salam Aidilfitri” ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datu Hii Chang Kee,  Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) dan turut dihadiri oleh wakil daripada pelbagai kementerian, jabatan termasuk agensi pelaksana inisiatif transformasi serta inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak.

Penganjuran majlis ini turut memberi ruang kepada para jemputan untuk berinteraksi, sekali gus mengukuhkan jaringan kerjasama strategik, berkongsi pandangan dan mempererat hubungan antara agensi dalam menyokong agenda transformasi dan inovasi.
Antara sorotan utama majlis tersebut ialah pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui penyampaian sumbangan kepada 20 orang penghuni Rumah Sri Kenangan. Inisiatif ini mencerminkan komitmen STIU dalam memastikan agenda transformasi yang dilaksanakan bersifat menyeluruh, merangkumi bukan sahaja aspek sistem dan penyampaian perkhidmatan, malah turut memberi penekanan kepada kesejahteraan sosial serta keprihatinan terhadap komuniti.

Pengarah STIU, Superi Awang Said selaku tuan rumah ketika dihubungi berkata, beliau merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik atas sokongan dan kerjasama berterusan untuk menjayakan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh STIU.
Beliau berkata, tema majlis yang diketengahkan mencerminkan aspirasi bersama dalam memperkukuh sinergi antara agensi, memacu usaha transformasi secara bersepadu dan menyemarakkan budaya inovasi dalam penyampaian Perkhidmatan Awam Sarawak.

“Platform seperti ini penting dalam memastikan hubungan strategik terus diperkukuh, sekali gus menyokong usaha meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,”  ujar beliau.

Antara jemputan yang hadir ialah panel SCS One Team Retreat (SCS OTR), panel penilai Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS), Kumpulan Inovatif dan Kreatif (ICC), Innovation and Quality Coordination Officer (IQCO), Juruaudit ISO serta SCS Scorecard termasuk Subject Matter Expert dalam bidang Good Regulatory Practice (GRP).