KUCHING – Program ICC Panel Certification Training 2026 telah berlangsung pada 16 hingga 17 Mac 2026 di sebuah hotel terkemuka di Kuching, melibatkan penyertaan panel ICC yang baharu dilantik. Program ini dianjurkan bagi meningkatkan kompetensi dan keseragaman dalam proses penilaian projek Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) di bawah Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS). Sebagai sebahagian daripada program, para peserta turut menduduki peperiksaan pensijilan, dengan keputusan akan dimaklumkan setelah proses penilaian selesai.
Pengarah Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU), Superi Awang Said dalam ucapannya menegaskan bahawa inovasi kini merupakan elemen kritikal dalam memastikan penyampaian perkhidmatan awam kekal relevan, cekap dan berimpak tinggi. Beliau turut menyatakan bahawa platform KIK berperanan sebagai pemangkin kepada penghasilan penyelesaian yang kreatif dan sistematik, selaras dengan aspirasi Post COVID-19 Development Strategy (PCDS) 2030. Sehubungan itu, pengukuhan kapasiti panel penilai adalah penting bagi memastikan proses penilaian dilaksanakan secara objektif, konsisten dan menepati standard yang ditetapkan.
Program ini juga menekankan peranan strategik panel penilai sebagai penjaga standard kualiti dalam ekosistem inovasi sektor awam. Selain fungsi pemarkahan, panel turut berperanan memberikan maklum balas konstruktif bagi menambah baik kualiti projek KIK. Penganjuran latihan ini mencerminkan komitmen berterusan STIU dalam memperkasa tadbir urus inovasi dan mempersiapkan penyertaan Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi termasuk konvensyen inovasi di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.