BENGKEL PEMURNIAN KRITERIA AKPANS 2027

Posted on 13 Mar 2026
Source of News: STIU

Kuching – Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) telah menganjurkan Bengkel Pemurnian Kriteria Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS) 2027 pada 12 hingga 13 Mac 2026. Bengkel ini menghimpunkan 32 orang peserta yang terdiri daripada panel penilai AKPANS, pakar rujuk daripada pelbagai agensi kerajaan, institusi akademik dan sektor berkaitan bagi meneliti, menyemak serta menambah baik kriteria serta indikator penilaian AKPANS. Pelaksanaan bengkel ini bertujuan memastikan kriteria penilaian AKPANS sentiasa relevan dan selaras dengan keutamaan strategik Kerajaan termasuk aspek transformasi organisasi, inovasi serta pendigitalan penyampaian perkhidmatan awam. Sepanjang bengkel berlangsung, peserta terlibat dalam sesi pembentangan kriteria baharu, perbincangan kumpulan dan sesi maklum balas bagi memperhalusi struktur kriteria, indikator pengukuran serta wajaran markah sebelum dimuktamadkan untuk pelaksanaan AKPANS 2027. Hasil daripada bengkel ini dijangka dapat memperkukuh kerangka penilaian AKPANS supaya lebih jelas, praktikal dan berimpak dalam mengiktiraf kecemerlangan organisasi sektor awam serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat Sarawak.