KUCHING – Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak(STIU) dari Jabatan Premier Sarawak(JPS) telah menganjurkan satu sesi libat urus pelaksanaan SCS-FOLIO yang menggantikan MyPortfolio. Sesi dihadiri seramai lapan puluh lima (85) kakitangan awam daripada pelbagai agensi Perkhidmatan Awam Sarawak (PANS).
Sesi libat urus ini diadakan bagi mengumpul maklum balas dan pandangan daripada semua pihak berkenaan mengenai penjenamaan semula SCS-FOLIO, dengan tujuan menentukan arah tuju yang lebih efisien dalam sistem pentadbiran PANS. Penjenamaan semula ini digariskan dengan empat objektif utama. Pertama, mewujudkan panduan kerja yang mengikut acuan PANS. Seterusnya, mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar. Selain itu juga, mengelakkan pertindihan dalam komponen. Akhir sekali, memastikan jawatan berasaskan operasi dan bukan waran.
Sesi ini menjadi wadah penting untuk memperkukuh usaha penjenamaan semula SCS-FOLIO agar ia terus relevan dan berkesan dalam menyokong pentadbiran Perkhidmatan Awam Sarawak.